KEADILAN Wangsa Maju sokong Dr Zaliha laksana tugas terbaik di Wilayah
- Suara Keadilan

- Sep 20
- 2 min read

KEADILAN Cabang Wangsa Maju menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang disifatkan sebagai pemimpin berprinsip, tegas dan profesional dalam memacu pembangunan Wilayah Persekutuan.
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai Chen Heng, menegaskan keyakinannya terhadap kepimpinan Dr Zaliha, khususnya dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI di Wilayah Persekutuan.
"Sebagai rakan seperjuangan dalam parti, saya amat mengenali ketegasan dan profesionalisme beliau yang sentiasa berpegang teguh pada prinsip, satu sifat yang tersemat kukuh sejak beliau berkhidmat sebagai seorang doktor," katanya dalam kenyataan.
Andre Lai berkata, beliau sendiri berpeluang bekerja bersama Dr Zaliha, termasuk ketika menjadi Ahli Lembaga Pelawat Hospital sewaktu beliau menyandang jawatan Menteri Kesihatan, dan kini sebagai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur.
"Sejak dilantik, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa telah menunjukkan keseriusan dan komitmen tinggi dalam memastikan aspirasi Malaysia MADANI direalisasikan dengan standard yang cemerlang," ujarnya.

Antara pencapaian yang disifatkan signifikan ialah pembentukan KL Strike Force, yang menyelaras operasi penguatkuasaan antara agensi bagi menangani isu warga asing serta struktur binaan haram.
Dalam masa sama, Andre menyelar dakwaan yang dilemparkan terhadap Dr Zaliha, termasuk daripada Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Ghulam Muszaffar.
"Saya percaya bahawa sebagai seorang pemimpin, lebih-lebih lagi seorang pemimpin wanita yang berjiwa besar, Datuk Seri Dr Zaliha akan terus berani menghadapi sebarang serangan politik sempit," tegasnya.
Menurutnya, rakyat kini semakin matang menilai, menolak politik sempit dan lebih mengutamakan kesejahteraan Wilayah Persekutuan.
"Sebarang ‘cadangan’ yang datang dari rakan sekutu hanyalah ribut dalam cawan berbanding agenda yang jauh lebih signifikan, iaitu memakmurkan negara," katanya.
Semalam, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nor Azrina Surip menolak dakwaan Datuk Gulam Muszaffar Shah Gulam Mustakim.
Beliau menjelaskan pelantikan politik di agensi strategik Wilayah Persekutuan turut melibatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional termasuk dalam Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Selain itu, katanya, Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani merupakan ahli tetap Majlis Menteri Wilayah yang bersidang dua kali setahun bagi menentukan hala tuju pembangunan wilayah.
Nor Azrina berkata garis panduan pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) turut diperkemaskan dengan menetapkan kuota minimum kepada wakil Barisan Nasional bagi memastikan representasi yang seimbang.
Beliau menambah peruntukan khas Menteri juga diagihkan secara terbuka kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik termasuk pertubuhan bukan keraiaan (NGO) yang dipimpin oleh aktivis UMNO.









Comments