
Pengkhianatan beberapa pemimpin dan ahli KEADILAN tidak sedikit pun menjejaskan kekuatan parti, sebaliknya akan terus membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Selangor, Najwan Halimi berkata pengkhianatan ADUN Sementa, Daroyah Alwi hanya mencerminkan sifatnya sebagai seorang yang langsung tidak menghormati mandat rakyat.
"Majoriti pengundi di Sementa memberi kemenangan kepada beliau atas tiket KEADILAN, dan bukan atas kapasiti dirinya. Kami yakin, sekiranya beliau bertanding atas tiket Bebas bagi mewakili dirinya dalam PRU yang lalu, pastinya beliau akan kalah besar.
"Tindakan beliau meninggalkan KEADILAN tidak lain hanyalah percubaan kecil kelompok yang tertekan dengan khabar berita akan berlaku perubahan besar kerajaan di peringkat Persekutuan. Dari sudut ini, beliau hanyalah bidak kecil dalam permainan papan catur dalang pengkhianat yang bergerak sejak Langkah Sheraton lagi," katanya dalam satu kenyataan.
Najwan turut menempelak sikap Daroyah yang menyalahkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca utama beliau keluar daripada parti.
"Amatlah wajar beliau menyedari hakikat ini dan tidak perlu bertindak terdesak menutup kelemahan diri dengan menuding jari kepada Presiden KEADILAN pula.
"Semasa dalam KEADILAN, Anwar serta pimpinan parti yang lain telah memberi laluan besar kepada beliau dengan memberikan ruang bertanding di kerusi selamat di Selangor serta bertanding secara sihat di dalam pemilihan parti.
"Malang sekali, langkah kecil dan sumbang beliau sama sekali tidak akan menggugat KEADILAN di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional. Insya-Allah, Selangor akan kekal utuh di bawah pentadbiran PH," katanya.
Comments