top of page

KEADILAN tidak teragak-agak ambil tindakan terhadap pemfitnah

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 6 hours ago
  • 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti itu tanpa sebarang asas yang sahih.


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) menerusi satu kenyataan menegaskan, parti itu memandang serius dakwaan yang tular kebelakangan ini yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu termasuk dakwaan melibatkan elemen 'mafia korporat'.


"Tuduhan tanpa bukti kukuh dibuat lebih-lebih lagi oleh pihak yang terdesak untuk melepaskan diri salah laku mereka sendiri tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti.


"Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti," katanya.

Fuziah sementara itu berkata, pihaknya kekal komited untuk mempertahankan integriti kepimpinan serta memastikan sebarang tuduhan yang dibangkitkan ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta, bukannya persepsi atau agenda tertentu.


Justeru semua pihak diseru agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran dakwaan yang tidak disahkan, yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kestabilan politik negara.


Semalam, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan menyifatkan dakwaan seorang ahli perniagaan Victor Chin yang kini berada di luar negara sebagai tindakan sengaja mencipta naratif kotor mencemarkan imej KEADILAN, Ahli Parlimen parti itu dan Kerajaan Madani.


Strategi kotor dilakukan individu dikaitkan dengan 'mafia korporat' itu tegasnya semata-mata bertujuan untuk mendapat suaka politik di United Kingdom (UK).


"Dia salahkan AMLA, dia salahkan SPRM, dia salahkan Bank Negara, dia salahkan polis, dia salahkan semua. Kalau kamu tidak membuat apa-apa kesalahan, pulanglah untuk disiasat. Jangan duduk di luar, buat tuduhan liar untuk memburukkan orang," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page