KEADILAN sokong tekanan Australia, Itali ke atas Israel
- Suara Keadilan

- Aug 21
- 1 min read

KEADILAN menyatakan sokongan penuh terhadap langkah berani oleh Kerajaan Australia dan Itali yang bertindak tegas ke atas Israel.
Sokongan itu dinyatakan Ketua Biro Hubungan Antarabangsanya, Dr Maszlee Malik (gambar) susulan tindakan Australia membatalkan visa Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan, Undang-Undang dan Kehakiman Israel baru-baru ini dan tindakan Itali menghalang penyertaan Israel dalam Fiera de Levante - pameran perdagangan antarabangsa berprestij di negara tersebut.
"Tindakan Australia dan Itali ini adalah langkah tepat, sah dan berani yang selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk mendesak Israel bertanggungjawab atas jenayah perang serta genosid yang dilakukan terhadap rakyat Gaza.
"KEADILAN berpandangan, negara-negara lain wajar mengikuti jejak Australia dan Itali dengan mempertimbangkan tindakan serupa termasuk sekatan visa, menghentikan perdagangan serta melaksanakan embargo senjata terhadap Israel," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama Dr Maszlee menegaskan, mana-mana negara atau syarikat yang masih memberi ruang, senjata, atau sokongan kepada Israel boleh dianggap bersubahat dengan jenayah perang dan genosid berdasarkan prinsip Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Justeru Israel tegasnya mesti dipinggirkan dan dicatatkan dalam sejarah sebagai pelaku jenayah perang dan genosid.
"Tekanan dunia secara menyeluruh melalui saluran diplomatik, ekonomi, politik dan undang-undang adalah strategi penting untuk menghentikan kekejaman ini. Undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan; genosid mesti dihentikan," tambahnya.









Comments