KEADILAN Selangor teguh menyokong kepimpinan PM Anwar
- Suara Keadilan

- Jul 19
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN Selangor menegaskan komitmen padu untuk terus menyokong penuh kepimpinan Presiden Parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan agenda reformasi dan membina sebuah negara bangsa yang inklusif, progresif dan sejahtera.
Tekad tersebut disuarakan Pengerusi KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden KEADILAN yang berlangsung pada Jumaat, menghimpunkan seluruh jentera dan kepimpinan utama dari setiap cabang di negeri itu.
"Dalam kesibukan mengemudi negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap meluangkan masa turun padang menyantuni akar umbi. Ini mencerminkan keprihatinan beliau dalam memastikan KEADILAN kekal kuat, tersusun dan teguh dalam landskap politik tanah air.
"KEADILAN Selangor akan terus berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam meneruskan agenda reformasi," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Seminar tersebut turut dihadiri pimpinan kanan parti termasuk Setiausaha Agung, Datuk Dr Fauziah Salleh; Ketua Wanita, Fadhlina Sidek; dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Ia bertujuan memperkukuh kekuatan jentera negeri serta menyusun hala tuju baharu menjelang Pemilihan KEADILAN 2025.
Sementara itu Amirudin dalam ucapanya menegaskan KEADILAN telah membuktikan keupayaan sebagai parti yang bukan sahaja berprinsip, tetapi juga mampu mentadbir dengan cemerlang.
"Selangor di bawah pentadbiran KEADILAN selama lebih dua dekad telah menjadi enjin utama ekonomi Malaysia. Negeri ini kini menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan RM432 bilion — peningkatan sebanyak RM26 bilion dalam tempoh hanya setahun," katanya.
Menurutnya, pencapaian itu bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran yang telus, progresif dan berpaksikan prinsip keadilan.
"Kita turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan sahsiah dan rohani rakyat. Negeri Selangor kini menjadi medan ilmu melalui program seperti Turath Islami, yang memperkukuh ajaran Islam berteraskan kasih sayang dan kesederhanaan, serta menolak segala bentuk ekstremisme dan perpecahan," ujar beliau lagi.









Comments