
KEADILAN sudah bersedia untuk mengetengahkan lebih ramai calon dalam kalangan anak muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah, Datuk Johari Abdul berpandangan bahawa KEADILAN merupakan sebuah parti yang sentiasa mengutamakan golongan belia, malah sering memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menerajui negara.
"Kita sebuah parti yang kekal dengan prinsip, kita berjaya hadapi macam-macam dugaan. Presiden masuk penjara dua kali dan kemudian dipimpin oleh wanita sebanyak lima kali dalam pilihan raya umum.
"Dalam menghadapi dugaan tersebut, kita berjaya melahirkan banyak pemimpin muda seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan Akmal Nasir.
"Ini jelas menunjukkan bahawa kita ada ramai pemimpin pelapis," katanya ketika Jelajah Angkatan Muda KEADILAN (AMK) ke Zon Utara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata pihaknya sedia menyahut cabaran Ketua AMK, Akmal Nasir untuk menyenaraikan sekurang-kurangnya 30 peratus calon muda dalam pilihan raya akan datang.
"Dari segi pencalonan, kita sebenarnya ada ramai pimpinan yang digilap dari semasa ke semasa. Cuma saringan calon kita letakkan kebijaksanaan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Presiden KEADILAN untuk menentukannya
"Sejujurnya kita tidak ketandusan pemimpin muda," katanya.
Pada masa sama, Firdaus berkata AMK juga menetapkan kriteria sebelum seseorang individu muda itu dilantik sebagai calon.
"Calon muda kena faham prinsip dan perjuangan parti dan mengenal pasti masalah rakyat.
"Kita tidak memilih calon atas dasar tahap kebijaksanaan semata-mata tetapi mereka mesti mempunyai kefahaman dan nadi rakyat serta membawa perjuangan parti," katanya.
Comments