
KEADILAN Negeri Sarawak menafikan telah mengeluarkan kenyataan mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan segera dalam suasana pandemik Covid 19 yang sedang memuncak.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit, kenyataan KEADILAN sebelum ini pada 16 Mei telah disalahtafsir.
Katanya, KEADILAN Sarawak beranggapan kenyataan balas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Gerawat Gala terhadap kenyataan itu jelas terkeliru berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang boleh dipinda supaya selaras dengan Jadual Perlembagaan Negeri Sarawak berkaitan tarikh pembubaran DUN yang sepatutnya pada 6 Jun 2021
"Jika sekiranya Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Agong) berkenan menyelaraskan Ordinan Darurat 2021 berkaitan pembubaran DUN dengan Perlembagaan Negeri Sarawak, atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak dan Ketua Menteri maka PRN masih boleh ditunda sehingga keadaan mengizinkan.
"Oleh itu, kami tegas menolak kenyataan Datuk Gerawat Gala yang mengatakan KEADILAN Sarawak mahu pilihan raya walaupun dalam keadaan Covid-19 masih teruk. Ini seolah-olah meletakkan perkataan di mulut KEADILAN Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abun lagi, dalam keadaan Ordinan Darurat berkuatkuasa, PRN Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 1 Ogos 2021 sekiranya Agong tidak mengeluarkan apa-apa perintah (Decree) pindaan baharu untuk membubarkan DUN selari dengan jadual Perlembagaan Negeri Sarawak.
Namun, katanya sekiranya Agong mengeluarkan perintah (pindaan) baharu agar DUN dibubar selari dengan jadual Perlembagaan Negeri, maka PRN ke-12 seharusnya diadakan dalam masa 60 hari dari 6 Jun 2021, bergantung kepada keadaan pandemik Covid -19.
"Jika Agong mengeluarkan perintah baharu untuk membubarkan DUN Sarawak pada 6 Jun maka tiada lagi Kabinet Negeri Sarawak dan wakil-wakil rakyat DUN Sarawak mulai tarikh tersebut," katanya.
Bagi Abun, oleh kerana TYT Sarawak dan Ketua Menteri dikhabarkan akan bertemu dengan Agong dalam masa terdekat, maka KEADILAN Sarawak mengambil kesempatan memberi pandangan dan cadangan dari pihak pembangkang agar perintah di dalam Ordinan Darurat 2021 jika diperkenan, diselaras dengan jadual Perlembagaan Negeri Sarawak.
Namun, katanya, jika Kerajaan Sarawak yang dipimpin Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak mahu mohon perkenan dan kebijaksanaan Agong untuk selaraskan perintah Ordinan Darurat 2021 dengan Perlembagaan Negeri, itu hak beliau dan gabungan parti pemerintah GPS.
"Apa yang penting, rakyat Sarawak perlu dimaklumkan agar terang dan jelas tentang jadual pembubaran DUN Sarawak dalam keadaan normal tanpa darurat pada 6 Jun 2021 manakala di bawah Ordinan Darurat 2021 adalah pada 1 Ogos 2021.
"Kita memahami Seksyen 18 Ordinan Darurat 2021. Oleh itu perkenan dan kebijaksanaan Agong perlu dipohon melalui TYT dan Ketua Menteri Sarawak apabila mereka bertemu dengan Agong, agar mohon perkenan Baginda untuk mengeluarkan perintah baru bagi menyelaraskan pembubaran pada 6 Jun 2021.
"Datuk Gerawat Gala tidak usahlah melenting dan beremosi dengan pandangan KEADILAN Sarawak. Mengapa takut sangat dengan pembubaran DUN pada tarikh 6 Jun? Hanya Datuk Gerawat dan GPS sahaja tahu sebabnya yang sebenar," katanya lagi.