KEADILAN Sabah jadikan pendidikan tunjang kemajuan rakyat - Mustapha
- Suara Keadilan

- Nov 4, 2025
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah menegaskan komitmen untuk menjadikan pembangunan pendidikan sebagai teras utama pentadbiran semua wakil rakyatnya di negeri itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, dasar berasaskan pendidikan (education-based policy) akan menjadi tunjang kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili KEADILAN di Sabah selepas ini bagi memastikan pembangunan insan seiring kemajuan fizikal di kawasan masing-masing.
"Pendidikan memberi kuasa kepada rakyat untuk keluar daripada kemiskinan dan membina masa depan dengan maruah.
"Kita mahu setiap wakil rakyat KEADILAN bukan sahaja memperjuangkan pembangunan infrastruktur, tetapi turut menjadi pemacu kemajuan ilmu dan minda anak-anak Sabah," katanya.
Mustapha berkata begitu pada Jelajah Harapan Urang Sabah di Dewan Kampung Iban, Merotai, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sementara itu tambahnya, antara komitmen utama yang bakal dilaksanakan di setiap kawasan yang dimenangi ialah program tuisyen percuma untuk pelajar SPM seperti yang dilaksanakan di Parlimen Sepanggar selama tiga tahun berturut-turut.
"Program ini terbukti membantu ramai anak daripada keluarga berpendapatan rendah mencapai keputusan lebih baik dan membuka peluang ke menara gading," jelas beliau menerusi perkongsian di Facebooknya.









Comments