KEADILAN Sabah hargai tindakan pantas kerajaan bantu mangsa banjir
- Suara Keadilan

- Sep 17
- 2 min read

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah merakamkan rasa dukacita atas kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat bencana banjir dan kejadian tanah runtuh di beberapa daerah di negeri itu.
KEADILAN Sabah dalam kenyataannya menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkesan serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan tersebut.
"KEADILAN Sabah juga ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua petugas barisan hadapan serta sukarelawan komuniti yang bertungkus-lumus melakukan operasi menyelamat, pemindahan dan bantuan kecemasan di lapangan," menurut kenyataan itu.
Parti itu turut menghargai tindakan pantas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa di Sabah.
Jumlah tersebut adalah tambahan kepada kira-kira RM11 juta yang telah disalurkan menerusi kerajaan negeri untuk tujuan pembaikan segera kemudahan asas serta bantuan kepada mangsa banjir.
"KEADILAN Sabah menyeru agar agihan bantuan ini dapat dilakukan secara telus, pantas dan berpandukan keperluan di lapangan," tambah kenyataan itu.
Sejak bermulanya bencana banjir di beberapa daerah, MPN KEADILAN Sabah telah mengarahkan setiap cabang parti di seluruh negeri supaya segera menghulurkan bantuan di samping bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan agar bantuan yang disalurkan menepati keperluan mendesak mangsa.
Dalam pada itu, KEADILAN Sabah menyeru seluruh rakyat agar bersatu padu tanpa mengira perbezaan politik dalam menghadapi waktu sukar ini.
"Kemanusiaan dan empati adalah agenda utama agar Sabah dan seluruh rakyatnya segera pulih kembali," jelas kenyataan tersebut.
Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan apabila angka keseluruhan mencecah 2,968 orang setakat pukul 12 tengah hari ini.
Menurut data Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, tujuh daerah terjejas melibatkan Beaufort, Penampang, Tawau, Membakut, Papar, Putatan dan Sipitang.
Sebanyak 26 pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini dengan 828 keluarga dipindahkan, manakala 13 kematian direkodkan sejak bencana itu melanda.









Comments