KEADILAN Perak saring 157 calon isi 64 kuota Ahli Majlis PBT
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

KEADILAN Perak mengadakan proses saringan terhadap 157 calon berpotensi bagi mengisi 64 kuota Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperuntukkan kepada parti itu dalam Kerajaan Perpaduan negeri.
Timbalan Pengerusi KEADILAN Perak, Tan Kar Hing (gambar) berkata, proses saringan menerusi sesi temuduga itu telah dilaksanakan parti berkenaan sejak tahun 2014 sebagai langkah memastikan pelantikan dibuat secara telus dan berasaskan merit.
Tambahnya, proses itu bukan sahaja melibatkan jawatan Ahli Majlis PBT, malah turut merangkumi calon-calon berpotensi bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
"Sejak 2014, setiap kali pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan juga pelantikan jawatan politik, KEADILAN Perak akan melaksanakan proses temuduga terlebih dahulu.
"Cadangan nama calon biasanya dikemukakan oleh cabang serta sayap parti seperti AMK (Angkatan Muda Keadilan) dan Wanita sebelum MPN (Majlis Pimpinan Negeri) membuat keputusan berdasarkan senarai yang diterima," katanya dipetik laporan media pada Ahad.
Kar Hing sementara itu berkata, proses temuduga diadakan dalam dua sesi iaitu seramai 132 calon menjalani temuduga pada Sabtu manakala baki calon akan ditemuduga pada Khamis minggu hadapan.
Proses saringan dikendalikan 11 panel pimpinan negeri diketuai Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Mohd Azlan Helmi, dengan penilaian dibuat berdasarkan pengalaman khidmat masyarakat, keupayaan menyelesaikan masalah dan kemahiran komunikasi.
"Setiap calon diberi skor untuk senarai pendek sebelum dipadankan mengikut kuota PBT. Proses ini juga membantu parti mengenal pasti bakat lain yang sesuai diserap dalam bidang seperti media sosial, teknologi dan kejuruteraan," tambahnya.









Comments