
Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini walaupun masih berlangsung dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun masih meriah dengan kibaran Jalur Gemilang di mana-mana.
KEADILAN Ranting Kampung Kuala Ampang tidak terkecuali meraikan sambutan kemerdekaan kali ini.
Menurut Ketua Ranting KEADILAN Kuala Ampang, Patrick Ang setiap tahun pada masa yang sama, bendera akan dipasang di keliling pasar di kawasan Kuala Ampang untuk memeriahkan sambutan hari kebangsaan negara, sekali gus menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, oleh kerana pada tahun ini suasana politik mula memanas menjelang PRU 15, maka kempen memasang bendera agak meriah.
"Melihat perkembangan politik baru-baru ini, PRU 15 dijangka akan menjadi paling ‘panas’ berbanding dengan dahulu. Wajar kami mencungkil bakat tempatan untuk kesinambungan reformasi di Ampang yang berbilang kaum," katanya.
Beliau berpendapat dalam keadaan di mana Parlimen Ampang dan kedua-dua DUN Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa yang tidak lagi bersama KEADILAN, katanya parti harus lebih mempamerkan bakat baru, terutamanya di kalangan pemimpin tempatan untuk menerajui pilihan raya.
Turut hadir dalam kempen memasang Jalur Gemilang pagi itu ialah ahli-ahli Majlis MPAJ saudara Abdul Latif Shari dan Puan Norsiah merangkap Ketua Wanita Cabang KEADILAN Ampang, yang turut menyumbangkan 200 kotak bubur ayam untuk diedarkan kepada pengunjung pasar.
KEADILAN juga memastikan jenama reformasi terus mendapat sambutan melalui pelbagai aktiviti, terutamanya di peringkat ranting dan pemimpin komuniti.
Comments