
Oleh: Abdullah Zaid
KEADILAN Kemaman akan menggerakan jentera kempen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecik (PRK) Kemaman.
Ketua Cabang Kemaman, Ahmad Nazri Md Yusof berkata, mesyuarat di antara kepimpinan Perpaduan telah membincangkan pengkhususan gerak kerja bagi membantu calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di parlimen berkenaan.
"Di antara Pakatan Harapan (PH)-BN kita telah mengadakan mesyuarat sejak tiga minggu lalu bagi membincangkan penyelarasan kerja.
"Ia memudahkan segala gerak kerja dan kita amat mengalu-alukan kerjasama dengan PH-BN di negeri Terengganu," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Jelas beliau, tumpuan utama ketika ini adalah meningkatkan sokongan pengundi PH bagi memastikan kebolehmenangan selesa kepada calon BN.
Katanya, PH mempunyai sokongan di beberapa DUN dan hal itu perlu ditingkatkan.
"DUN Chukai hanya dua PDM menang, PDM PH menang dulu Kg Jaka dan tengah di DUN Chukai. Kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kita telah menghasilkan 8 ribu undi dan kita sasarkan 14 ribu berdasarkan keputusan PRU14.
"Maka, kita perlukan 6 ribu pengundi lagi dan kita masih mengusahakan ke arah itu," katanya.
Untuk rekod, Raja Mohammed Afandi diangkat sebagai calon BN dalam misi merebut semula kerusi tradisi BN itu yang tewas kepada Pas sejak PRU14 lalu.
Beliau berhadapan calon Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas.
Kira-kira 141,790 pengundi diberi hak untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam memilih calon baharu bagi kerusi Kemaman setelah penyandangnya Che Alias Hamid dibatalkan kemenangan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu.