KEADILAN Kedah memantau perkembangan mangsa banjir di Daerah Baling yang dilaporkan kehilangan harta benda dan nyawa.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul banjir yang melanda di beberapa kawasan sejak semalam telah menjejaskan banyak penduduk yang kehilangan harta benda.
"Saya mengikuti dengan dekat perkembangan terkini berkaitan banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah Baling, Kedah sejak dari semalam.
"Dilaporkan ramai penduduk terjejas teruk, mengalami kemusnahan harta benda, hilang tempat tinggal bahkan diberitakan turut ada yang menjadi korban akibat dihanyutkan arus dalam kejadian terbabit," ujarnya.
Johari sedih dengan tragedi tersebut apatah lagi dikaitkan dengan penebangan hutan yang sebelum ini tidak menyebabkan banjir sebegitu buruk.
"Saya menzahirkan perasaan cukup dukacita dan amat bersimpati kepada para penduduk dalam menghadapi ujian tersebut.
"Semoga mereka yang terlibat bersabar serta tabah menghadapi ujian ini.
"Sama-samalah kita doakan agar semuanya selamat, baik dan berada dalam lindungan Allah S.W.T," katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pasukan bantuan di bawah kerajaan Selangor bersiap sedia untuk digerakkan ke Kedah bagi membantu mangsa banjir berkenaan.
"Pasukan PANTAS dari pelbagai PBT di Selangor bersiap sedia untuk ke Kedah bagi membantu mangsa banjir.
"Pasukan sukarelawan Team Selangor dan KHIDMAT juga telah bersiap untuk digerakkan.
"Kerajaan Negeri sedang berhubung dengan pihak berkuasa di Kedah bagi penyelarasan bantuan. Doakan agar urusan ini dipermudahkan," katanya di Facebook.
Commentaires