top of page

KEADILAN Johor sedia terima delegasi ke pemukiman khas penerangan, konvensyen PH

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 4 days ago
  • 2 min read

KEADILAN Johor menyatakan kesiapsiagaan penuh untuk menerima kehadiran delegasi sempena penganjuran pemukiman khas Ketua-ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 Mei serta Konvensyen Pakatan Harapan pada 17 Mei ini di Johor Bahru.


Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Mohd Fakharuddin Moslim (gambar) berkata, jentera negeri telah membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran program yang bakal menghimpunkan pimpinan penerangan dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka serta delegasi konvensyen Pakatan Harapan (PH) dari seluruh negara.


Menurut Fakharuddin, program tersebut bukan sahaja menjadi platform penting untuk memperkukuh penyelarasan komunikasi parti, malah memperlihatkan komitmen KEADILAN Johor sebagai tuan rumah dalam memastikan kehadiran dan penglibatan aktif semua delegasi.


"Johor bersedia sepenuhnya dari segi logistik, penyelarasan program dan penerimaan delegasi. Kita menjangkakan kehadiran yang memberangsangkan dari tiga negeri seperti yang digariskan pimpinan pusat," kata beliau kepada Suara Keadilan.


Terdahulu pemukiman khas diumumkan Ketua Penerangan KEADILAN merangkap Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil yang menegaskan kepentingan program berkenaan dalam menyatukan mesej serta memperkemas strategi komunikasi PH menjelang cabaran politik semasa.


Mengulas lanjut, Fakharuddin berkata penganjuran Konvensyen PH di Johor Bahru juga mencerminkan peranan strategik negeri itu dalam landskap politik semasa dan serantau, selain menjadi medan memperkukuh solidariti antara pimpinan akar umbi dan pusat.


Beliau menegaskan bahawa KEADILAN Johor akan terus mempertahankan prinsip Kerajaan Perpaduan, khususnya ketika negara berdepan cabaran besar seperti krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi global.


Menurutnya, rakyat Johor dan negeri-negeri selatan Semenanjung memahami realiti tersebut dan kekal menyokong kestabilan politik demi kesejahteraan bersama.


"Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kestabilan politik bukan pilihan, ia adalah keperluan. Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan demi melindungi rakyat daripada tempias krisis global.


"Rakyat Johor matang menilai. Mereka tahu bahawa retorik kosong tidak akan menyelesaikan isu kos sara hidup atau keselamatan tenaga. Yang diperlukan adalah kesinambungan dasar dan kepimpinan yang stabil.


"Kita tidak boleh berkompromi dengan usaha yang cuba menggugat kestabilan. Fokus kita jelas, iaitu memastikan ekonomi terus dipacu dan kebajikan rakyat terbela melalui kerangka Kerajaan Perpaduan," tegasnya.


Program dua hari tersebut akan disusuli dengan Konvensyen PH pada 17 Mei, yang dijangka menjadi medan penting untuk memperkukuh kesepaduan gabungan serta menyusun gerak kerja menghadapi pilihanraya akan datang.


Fakharuddin turut menyeru semua pimpinan dan jentera yang terlibat agar memanfaatkan sepenuhnya platform tersebut bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan memperkemas penyampaian mesej kepada rakyat.


"Ini adalah peluang terbaik untuk kita menyusun langkah secara lebih tersusun dan berdisiplin, selari dengan hasrat pimpinan untuk memastikan jentera parti sentiasa berada pada tahap terbaik," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page