top of page

KEADILAN Johor perlu perkukuh organisasi, sedia hadapi PRU-16

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

KEADILAN Johor perlu memperkukuh serta mendisiplinkan budaya organisasi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, kata Setiausaha Agung, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar).


Beliau berkata, pendekatan organisasi tidak boleh lagi tertumpu kepada struktur semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan gerak kerja menyeluruh khususnya dalam budaya kerja dalam parti di setiap cabang.


"Kita tidak boleh lagi melihat hanya kepada struktur organisasi. Untuk 2026 dan menghadapi PRU-16, kita mesti membina budaya organisasi, bukan sekadar memperkemaskan struktur," katanya pada Konvensyen KEADILAN Johor 2026, Ahad lalu.


Menurutnya, budaya organisasi merangkumi sistem nilai, kepercayaan dan amalan kerja harian yang akhirnya menentukan kekuatan sebenar sesebuah parti politik.


Beliau menjelaskan bahawa walaupun struktur, sistem dan prosedur operasi standard (SOP) boleh dibangunkan dengan baik, kejayaan tetap bergantung kepada budaya kerja yang diamalkan oleh anggota.


"Kita boleh ada sistem yang baik, SOP yang cantik, tetapi kalau budaya kerja tidak menyokong, strategi tidak akan berjaya. Budaya itulah yang akan menentukan prestasi kita," katanya.


Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut menegur beberapa amalan lama dalam organisasi yang dilihat boleh menjejaskan disiplin, termasuk sikap tidak menepati masa dan kecenderungan menunggu kepimpinan tertentu sebelum memulakan sesuatu program.


Katanya, perubahan sikap dan disiplin ini penting bagi memastikan jentera parti lebih bersedia, cekap dan berdaya saing menjelang PRU-16.


Mengimbas keputusan PRU-15, beliau berkata Johor masih mempunyai potensi besar untuk dimenangi sekiranya persiapan rapi dilakukan dari sekarang.


"PRU-15 menunjukkan kita ada peluang. Untuk PRU-16, persiapan ini sangat penting dan mesti bermula dengan pembinaan budaya organisasi yang kukuh," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti di Johor supaya melakukan perubahan dari dalam dengan memperbaiki budaya kerja, memperkukuh disiplin serta meningkatkan keupayaan organisasi.


Katanya, hanya dengan gabungan strategi yang baik dan budaya kerja yang mantap, KEADILAN mampu tampil lebih bersedia dan berkesan dalam menghadapi PRU-16.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page