
KEADILAN Cabang Hulu Rajang yang menyelesaikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) pada 25 April lalu telah meluluskan 3 usul penting.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Abun Sui Anyit, mesyuarat yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat parti di Sungai Asap itu juga menjemput ahli-ahli KEADILAN berdaftar menghadirinya secara maya menerusi aplikasi Zoom.
"Dalam mesyuarat itu KEADILAN Hulu Rajang menggesa Kerajaan Sarawak menaik taraf Daerah Belaga menjadi Bahagian Ke 13 Sarawak sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak yang ke11 ini.
"Jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) memerintah Sarawak selepas Pilihanraya Negeri Sarawak kali ini, KEADILAN Hulu Rajang akan meminta Kerajaan PH Sarawak segera mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian Sarawak yang ke 13," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, menurut Abun yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, MATC turut meluluskan 2 lagi usul penting berkenaan strategi politik KEADILAN.
"KEADILAN Hulu Rajang menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang ke 9.
"Selain itu, Cabang Hulu Rajang juga meminta agar KEADILAN menolak kerjasama dengan mantan Perdana Menteri Ke 4 dan Ke 7, Tun Dr. Mahathir yang dilihat sebagai penghalang utama atau tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri," katanya lagi.
Comments