KEADILAN Cabang Tanjong kunjung hormat ke pejabat KM P Pinang
- Redzuan Shamsudin

- Jan 31
- 1 min read

Pimpinan baharu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Tanjong, Pulau Pinang bagi penggal 2025–2028 mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, di Pejabat Ketua Menteri di KOMTAR semalam.
ADUN Batu Uban, A Kumaresan berkata kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu cabang selain merapatkan hubungan dan memperkukuh kerjasama antara kepimpinan parti dengan Kerajaan Negeri.
“Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Cabang Tanjong, di samping merapatkan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara kepimpinan cabang, Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pertemuan itu turut membuka ruang perbincangan mengenai agenda pembangunan serta usaha mempertingkat kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.
“Pimpinan KEADILAN Cabang Tanjong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kesudian meluangkan masa menerima kunjungan ini, serta atas pandangan dan sokongan yang diberikan demi memperkukuh agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” ujarnya.
Menurut Kumaresan, kepimpinan baharu cabang komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan segala dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat rakyat.




Comments