KEADILAN Cabang Kuantan perkukuh tubuh lima Ranting baharu di Teruntum
- Suara Keadilan

- 43 minutes ago
- 2 min read

KEADILAN Cabang Kuantan meneruskan komitmen kebajikan dan pengukuhan organisasi parti di peringkat akar umbi dengan melaksanakan pelbagai kegiatan bersama anggota-anggota Ranting di kawasan DUN Teruntum, Parlimen Kuantan sempena sambutan Tahun Baharu 2026.
Hasil inisiatif berterusan Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, sebanyak lima Ranting baharu berjaya ditubuhkan pada awal tahun ini, iaitu Ranting Seri Kuantan Madani, Ranting Galing Madani, Ranting Bukit Ubi Madani, Ranting Alor Akar Selatan dan Ranting Alor Akar Madani.
Ketua Ranting Seri Kuantan Madani, Albert Tan Siew Khong, berkata usaha mendekati masyarakat telah dipergiatkan sejak November 2025 melalui pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan yang dianjurkan bersama pimpinan Cabang.
“Melalui program seperti Jualan Rahmah Madani Bergerak dan aktiviti turun padang secara konsisten bersama Ketua Cabang, seramai 100 orang anggota baharu berjaya direkrut sehingga membolehkan Ranting Seri Kuantan Madani ditubuhkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ranting Alor Akar Selatan, Mohamad Shaharum Mohd Asah, memaklumkan bahawa gerak kerja khidmat masyarakat di kawasan Rumah Pangsa Alor Akar telah bermula sejak Julai 2025.
“Pelbagai aktiviti dan khidmat masyarakat digerakkan bersama Ketua Cabang serta pimpinan Cabang Kuantan, dan hasilnya Ranting Alor Akar Selatan kini mempunyai keanggotaan melebihi 50 orang,” jelas beliau.
Bagi Ketua Ranting Alor Akar Madani pula, Vijayakumar Balasubramaniam, pendekatan mesra masyarakat yang diamalkan Ketua Cabang selaku Ahli Majlis Bandaraya Kuantan telah memberi kesan positif kepada penerimaan masyarakat setempat.
“Banyak aduan perbandaran yang tertunggak berjaya diselesaikan dengan segera oleh Cabang Kuantan. Pendekatan ini telah menarik penyertaan anggota baharu daripada pelbagai kaum sehingga tertubuhnya Ranting Alor Akar Madani,” katanya.
Dalam majlis berkaitan, Bendahari Cabang Kuantan, Ken Koh Yee Yen, turut menyampaikan sumbangan kotak makanan mewakili Cabang Kuantan kepada warga anggota Ranting Keadilan yang baharu ditubuhkan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan parti.









Comments