KEADILAN Cabang Kuantan aktif bantu mangsa banjir
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

KEADILAN Cabang Kuantan menggerakkan sepenuhnya jentera Cabang dan sayap parti termasuk Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda daerah itu baru-baru ini.
Ketua Cabang KEADILAN Kuantan yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, pihaknya terlibat secara langsung dalam koordinasi operasi bantuan bersama pihak berkuasa dan agensi kerajaan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kuantan.
"Sebagai Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, saya melakukan penyelarasan dengan Majlis Bandaraya Kuantan serta agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), BOMBA, Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui PKOB Kuantan yang beroperasi di Pejabat Daerah Kuantan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara tugasan utama jentera KEADILAN Cabang Kuantan ialah membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS), menghantar pesakit ke hospital serta memastikan bekalan makanan dan peralatan di PPS mencukupi.

"Penyelarasan turut dibuat bersama jentera sukarelawan di PPS termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta NGO, selain menyalurkan aduan yang diterima bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir," jelasnya.
Sementara itu, Wanita KEADILAN Cabang Kuantan turut memainkan peranan aktif dengan membantu JKM Kuantan dan NGO membekalkan makanan segera serta menjadi sukarelawan pendaftaran mangsa di PPS.
Ketua Wanita KEADILAN Cabang Kuantan, Sridayu Samsuri berkata, jentera Wanita melalui NGO Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan awal sebaik mangsa ditempatkan di PPS.
Dalam perkembangan sama, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuantan turut mengerahkan tenaga anak muda untuk membantu operasi bantuan di lapangan.
Naib Ketua AMK Kuantan, Ammar Abdul Razak berkata, pasukan AMK aktif menyalurkan bantuan makanan ke PPS yang memerlukan termasuk PPS Sekolah Kebangsaan Mat Kilau dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan.
Fokus AMK adalah memastikan PPS yang memerlukan menerima bekalan makanan mencukupi dalam tempoh kritikal.
Selain operasi kecemasan, kerja-kerja pasca banjir kini diteruskan dengan aktiviti pembersihan rumah dan kawasan terjejas bersama agensi kerajaan, di samping penyampaian bakul makanan kepada anggota KEADILAN Kuantan serta penduduk sekitar yang terkesan akibat banjir.









Comments