KEADILAN Wilayah Persekutuan mengagihkan bantuan kepada warga berketurunan Tiong Hua yang kurang bernasib baik di Pasar Ikan Emas, Bandar Tun Razak pada malam sebelum Tahun Baharu Cina.
Menurut Naib Pengerusi Wilayah Persekutuan, Andre Lai, Program amal ini telah dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya di Pudu namun tahun ini KEADILAN memilih Pasar Ikan Emas sebagai tapak pengagihan sumbangan.
"Seramai 50 penerima warga emas dari kawasan sekitar Taman Ikan Emas, PPR Sri Pulau Pinang dan PPR Sri Johor telah dipilih untuk menerima sumbangan secara berperingkat dengan mematuhi SOP ketat," katanya.
Aktivis KEADILAN kawasan Cheras, Ronald Pua pula berkata, pemberian bekalan kepada warga tua sangat bermakna dan diterima dengan baik.
"Bagi gologan warga emas, nilai barang sumbangan bukan mahal, namun kegembiraan di riak muka penerima menjadi penilaian.
"Saya berharap supaya mereka dapat menarik lebih banyak yang boleh tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan bersama. Perayaan di Malaysia, kami wajar raikan bersama,” katanya.
Dalam tinjauan, beberapa peniaga yang berniaga di pasar itu juga mengucapkan syabas dengan program sumbangan berkenaan.
Lydia Lian, penjaja tempatan di Pasar Ikan Emas teruja dengan sikap prihatin KEADILAN Wilayah Persekutuan.
"Saya percaya program ini akan meninggalkan kesan mendalam pada setiap hadirin yang hadir kerana ia perasaan tolong menolong pada saat sukar ini, dapat menunjukkan adanya harapan di komuniti kita. Perasaan ini bagaikan, ‘jauh di langit, dekat di hati’," katanya.
Seorang lagi peniaga, Mani, berterima kasih kerana KEADILAN sering memberi bantuan dan melakukan pelbagai program di pasar tersebut.
"Pasukan Ronald dan KEADILAN amat prihatin. Dengan segala bantuan sumbangan, sanitasi awam dan pelitup muka yang mereka bawa selalu, kami penduduk setempat menghargai keikhlasan mereka membantu,” katanya.
Pasar Ikan Emas menjadi tumpuan sebelum Tahun Baharu Cina untuk warga sekitar membeli keperluan pada saat akhir sebelum perayaan.
Biarpun dalam keadaan pandemik dan mengikuti SOP ketat namun kemeriahan tahun baharu tetap dirasakan.
Comments