top of page

Ke arah pelaksanaan menyeluruh Sistem Alamat Nasional - MCMC

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 17
  • 2 min read

Datuk Fahmi (tiga dari kiri) merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025
Datuk Fahmi (tiga dari kiri) merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025

Oleh: Akmal Manaf


Persidangan Alamat Nasional 2025 yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menjadi landasan penting ke arah pelaksanaan menyeluruh Sistem Alamat Nasional (NAS) yang memberi tumpuan kepada dasar strategik dan amalan terbaik global dalam tadbir urus pengalamatan negara.


Persidangan selama dua bermula semalam, merupakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menghimpunkan lebih 500 peserta daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan orang awam.


MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan, NAS menjadi platform untuk memulakan wacana peringkat nasional mengenai dasar, sistem dan tadbir urus berkaitan alamat di Malaysia.


Selain itu katanya, sistem berkenaan juga berfungsi memperkukuh pengurusan alamat secara bersepadu di seluruh negara dan mengenal pasti penyelesaian inovatif berkaitan pengurusan alamat.


''Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 12 juta alamat, namun masih tiada pangkalan data nasional yang seragam.


''Ketidakseragaman data ini menjejaskan kecekapan perkhidmatan dan operasi, perancangan polisi, tindak balas kecemasan dan membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar.


''NAS telah dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.


''NAS juga berpotensi menjadi satu asas kepada pembangunan bandar pintar serta membolehkan pelaksana sistem-sistem pintar seperti pengangkutan awam bersepadu, pengurusan tenaga yang cekap dan pelbagai perkidmatan automasi yang lain,'' kata suruhanjaya itu.


Dalam kenyataan sama, MCMC berkata, sistem berkenaan dijangka membawa pelbagai manfaat nyata kepada rakyat, selain memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier.


''Dengan penggunaan alamat dan lokasi koordinat yang tepat bagi setiap destinasi, penghantaran dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, efisien, serta mengurangkan risiko kesilapan penghantaran.


''Selain sesi panel pakar dan pembentangan teknikal, turut dianjurkan pameran interaktif, sesi jaringan antara agensi dan perbincangan kolaboratif yang menyumbang kepada hala tuju bersama bagi masa depan pengurusan alamat di Malaysia,'' ujar MCMC lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page