KDN sasar selesai 10 ribu permohonan kewarganegaraan bermasalah
- Suara Keadilan

- Mar 10, 2023
- 1 min read

“Datuk, mohon bantu permohonan pengenalan diri kami. Anak-anak mahu belajar, masuk hospital, mahu kahwin, kerja semua payah Datuk. Minta tolong sangat”
Ayat tersebut sering didengari oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepanjang menjawat jawatan menteri.
Katanya, beliau amat prihatin dengan permohonan kewarganegaraan bermasalah terutama melibatkan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Oleh itu, beliau bertekad akan menyelesaikan permohonan kewarganegaraan yang bermasalah sedaya upaya yang mampu.
"Permohonan ini kita buat betul-betul berpandukan prinsip yang penting.
"Selain daripada prinsip perlembagaan, kedaulatan, dan keselamatan, kita juga beri pertimbangan kepada prinsip kemanusiaan dan ihsan yang menjadi salah satu komponen tonggak dalam prinsip Malaysia Madani," katanya usai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak Bil.1/2023, semalam.

Menurut Saifuddin, berliau berazam untuk menyelesaikan 10,000 permohonan sehingga hujung tahun ini bagi memberi kelegaan kepada warga Malaysia yang belum diiktiraf itu.
"Sepanjang saya menerajui Kementerian Dalam Negeri, kita telah memberikan pertimbangan keputusan kepada 4,297 permohonan kewarganegaraan bagi pelbagai Perkara di bawah Perlembagaan.
"Kita sasarkan sekurang-kurangnya pada hujung tahun ini, kita akan dapat menyelesaikan sehingga 10,000 permohonan kewarganegaraan," katanya.
Semalam di Kuching, beliau menyerahkan surat penganugerahan taraf kewarganegaraan Malaysia kepada seramai 40 orang anak-anak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Katanya, dalam mesyuarat yang dihadirinya semalam juga sebanyak 146 permohonan kewarganegaraan kanak-kanak di bawah 21 tahun bagi negeri Sarawak telah berjaya diselesaikan.




Comments