
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2023 yang memperlihatkan kedudukan Malaysia bertambah baik daripada Tier 3 (Tahap 3 Watch List) tahun lalu kepada Tier 2 tahun ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, laporan yang diumumkan pada 15 Jun 2023 di Washington DC itu membariskan pencapaian signifikan oleh Malaysia seperti peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kes serta pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan bilangan mangsa, pelaksanaan usaha peningkatan kesedaran di sektor perladangan sawit dan juga peningkatan perkhidmatan perlindungan serta sokongan kepada mangsa pemerdagangan orang yang membolehkan negara diiktiraf lebih baik daripada sebelumnya.
"Laporan tersebut menggariskan 15 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.
"Antaranya meningkatkan pengenalpastian mangsa dalam kalangan golongan rentan, pekerja domestik, pekerja sektor perladangan sawit dan sarung tangan getah.
"Laporan ini juga menyarankan agar diberi penekanan kepada kes pemerdagangan orang yang melibatkan penjawat awam serta menambah baik kerjasama antara agensi," katanya.

Dalam hal itu, kata Saifuddin, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama dengan Kementerian dan Agensi Kerajaan lain akan sentiasa mengambil tindakan strategik dan tegas sebagai respon kepada penemuan laporan tersebut dan secara tidak langsung memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.
"Oleh itu, antara perkara yang sedang dalam pelaksanaan adalah meningkatkan kemahiran agensi penguatkuasa di seluruh negara dalam aspek pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang melalui Roll Out Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0) yang telah dilancarkan pada 22 Mac 2023 yang lalu," katanya.
Menurut Saifuddin lagi, KDN dan MAPO akan terus memperkasakan sinergi dan kerjasama erat dengan badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam memastikan isu tersebut ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation tanpa kompromi demi keselamatan dan kedaulatan negara.
Selain itu para majikan juga, kata Saifuddin, mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan hak dan kebajikan pekerja dipelihara bagi mengelakkan daripada berlakunya amalan buruh paksa dan pemerdagangan orang.
"Justeru KDN dan MAPO komited untuk turut mendukung prinsip Malaysia Madani dalam memelihara hak mangsa pemerdagangan orang dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat secara langsung mahupun yang bersubahat dalam jenayah keji ini, untuk dibawa ke muka pengadilan berdasarkan lunas perundangan sedia ada," katanya lagi.

Comments