KDN gerak 32 kenderaan MEKAR bantu selesai isu kad pengenalan
- Suara Keadilan

- Jul 15
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan 32 buah kenderaan melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) ke seluruh negara terutama kawasan pedalaman bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan membabitkan dokumen pengenalan diri termasuk kewarganegaraan.
Kementerian dalam kenyataan berkata perkhidmatan itu bagi memastikan urusan berkaitan Jabatan Pendaftaran Negara dapat terus dilakukan ke pintu orang ramai terutama membabitkan lokasi sukar diakses.
"Ini cerminan kepada pendekatan MADANI sebenar iaitu kerajaan yang mendekat, bukan menjauh," kata kenyataan itu.
Kementerian di bawah teraju Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mencapai kejayaan besar membabitkan aspek kewarganegaraan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 diluluskan di Parlimen pada Oktober 2024.
"Salah satu elemen pindaan ini membawa impak besar kepada kaum ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak-anak yang lahir di luar negara iaitu anak-anak mereka ini layak menjadi warganegara Malaysia secara automatik.
"Ini merupakan sejarah yang mengangkat prinsip kesaksamaan gender kepada tahap Perlembagaan dan menjadi titik penting dalam perjuangan hak kaum ibu," ujarnya.
Sementara itu, penguatkuasaan KDN untuk memperkasakan kawalan bahan percetakan telah menyaksikan lebih 26,000 naskhah al-Quran yang tiada perakuan telah berjaya ditukar melalui Program Jom Exchange Quran (JEQ) sepanjang Januari 2023 hingga Jun lalu.
"Ini menggambarkan komitmen KDN untuk memastikan kesucian naskhah al-Quran yang digunakan oleh umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara," katanya.
Jelasnya KDN kini fokus untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat dan menambah baik proses kerja dari sistem pemantauan imigresen, analisis data jenayah hingga ke automasi perkhidmatan.
"Penggunaan AI dilakukan secara terancang tanpa mengkompromi integriti dan keselamatan rakyat," katanya.









Comments