KBS yakin isu dibangkitkan Azizulhasni diselesai secara baik
- Suara Keadilan
- Jun 9, 2023
- 1 min read

Ketidakpuasan hati yang dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mampu ditangani sebaik mungkin, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Adam Adli Abdul Halim.
Adam ketika mengulas isu dibangkitkan Azizuhasni berkata Jawatankuasa program Road to Gold (RTG) dipertanggungjawabkan bagi mendengar segala permasalahan dikemuka mana-mana atlet yang berada di bawah program tersebut, dalam misi memburu emas Sukan Olimpik.
"KBS mendengar dan kita memahami perkara yang diluahkannya (Azizulhasni). Perkara ini sedang dibincangkan serta akan dikendalikan terutama sekali oleh RTG, menerusi koordinator programnya Datuk Stuart Ramalinggam.
"Beliau antara yang bertanggungjawab dan memang tujuan RTG diperkenal untuk kita teliti sebarang masalah ataupun cabaran dalam misi meraih emas di Sukan Olimpik.
"Justeru, Datuk Azizulhasni selaku individu yang diletakkan harapan, kita nak yang terbaik buat beliau," katanya dipetik pada pada majlis pengenalan pasukan e-sukan pertama dibarisi pempengaruh dan selebriti, CRIT MVP, di Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni yang dikenali dengan gelaran 'The Pocket Rocketman melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN).
Ia atas kegagalan MSN menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.
Menurutnya, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai, sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.
Atlet berusia 35 tahun itu menambah walaupun beliau menerima keputusan MSN untuk memindahkan pusat latihan dengan hati terbuka, namun kepulangannya ke tanah air telah tidak disertai dengan sistem sokongan lengkap dan bertaraf dunia.
Σχόλια