KBS sasar Malaysia juara keseluruhan Sukan SEA 2027


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang Malaysia sebagai kuasa sukan di rantau ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, kementerian komited untuk mengangkat martabat sukan negara di pentas antarabangsa dengan merangka garis masa persediaan yang jelas termasuk penganjuran bengkel strategik bagi memastikan setiap sukan menyumbang kepada sasaran pingat ditetapkan.
"Kita sangat optimis untuk mengekalkan kejuaraan dan kedudukan ranking kita. Garis masa kita sangat jelas dan saya yakin dengan kombinasi pasukan mantap di bawah KBS, kita mampu mencapainya
"Insya-Allah, kita akan pastikan Malaysia menjadi yang terbaik dalam Sukan SEA 2027," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian selepas majlis amanat pembukaan tahun 2026 bersama atlet dan jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur. Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol dan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.
Untuk rekod, ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2017, kontinjen negara melakar sejarah apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Sementara itu Dr Muhammad Taufiq menegaskan, penganjuran Sukan SEA 2027 juga berperanan menyatupadukan rakyat serta menjadi kayu ukur kepercayaan negara luar terhadap Malaysia.
"Penganjuran kali ini amat penting untuk negara kita. Ia bukan sahaja berkenaan sukan, tetapi manifestasi kepercayaan negara-negara luar terhadap kepimpinan negara kita.
"Saya akan memastikan penganjuran ini menjadi antara yang terbaik dan menjadi platform serta medium untuk menyatupadukan rakyat Malaysia," tambahnya.




Comments