Kapal LCS 1 berjaya terapung di air, diserahkan kepada TLDM pada Ogos
- Suara Keadilan
- Jun 4, 2024
- 2 min read

Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 Maharaja Lela berjaya diluncurkan dan terapung di air pada 23 Mei lalu dengan aset pertama daripada projek penuh kontroversi itu dijangka diserahkan kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan LCS 1 setakat ini mengikut perancangan ditetapkan oleh pihak kerajaan dan kapal pertama disiapkan mengikut jadual.
"Kapal LCS pertama menepati jadual ditetapkan mengikut perancangan iaitu pada Mei tahun ini, kapal itu telah diluncurkan ke air pada pada 23 Mei, setelah mendapat persetujuan daripada pihak yang membuat reka bentuk, pihak mengawal kualiti pembinaan dan pengguna akhir iaitu pihak TLDM sendiri, bagi menguji kestabilan dan keutuhan kapal.
"Jadi ia telah melalui proses itu dan sekarang ini ialah untuk membuat kerja memasang peralatan, perkakas atas kapal, ada yang dah dipasang, ada terus dipasang. Ia akan ambil masa sehingga tahun depan, pemasangan, ujian pemasangan dan sebagainya, bermakna sama ada enjin, combat system, sistem komunikasi, semua itu termasuk peralatan seperti meriam dan sebagainya.
"Selepas itu barulah dalam Disember akan dilakukan ujian di pelabuhan dan selepas semua perkakas dipasang maka akan dilakukan ujian di laut. Dan kalau ikut perancangan, kapal pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada Ogos Tahun 2026," katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan pembinaan kapal tersebut di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) di Lumut, Perak hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pembinaan empat lagi baki LCS juga berjalan dengan baik dan mengikut perancangan ditetapkan setakat ini.
Pada masa sama, beliau menjelaskan sesebuah kapal itu perlu melalui empat proses iaitu reka bentuk, pembinaan, pemasangan peralatan dan ujian, sebelum ia berstatus siap dan sedia digunakan secara rasmi.
"Di sinilah (tinjauan hari ini) kita lihat bahawa sekurang-kurangnya kapal dah diluncurkan (ke air). Maknanya dah nak mula ke peringkat keempat, kesemua ujian.
"Kapal ini minimum memuatkan 120 orang kelasi dan anggota, jadi dia mestilah selamat, apatah lagi nak menjalankan tugas sama ada rondaan, latihan, jaga kedaulatan, ancaman," katanya dipetik Bernama.
Comments