top of page

'Kalau murung, fikirkan hidup ini satu perjalanan, bukan destinasi' - Dr Wan Azizah


Kejadian kemurungan akibat kerisauan melampau kerana kehilangan pendapatan, pandemik Covid 19 yang tidak berpenghujung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menekan boleh mengakibatkan kejadian buruk seperti penderaan atau membunuh diri.


Bagi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, setiap individu perlu bertenang dan jangan terlalu melayan perasaan menghadapi pandemik dan kemerosotan kualiti kehidupan.


Dalam temuramah maya program NONA pagi tadi, beliau membariskan pengalaman jatuh bangun hidupnya sebagai tauladan ketika menjawab soalan bagaimanakah wanita mahu menghadapi cabaran serta mengatasi kemurungan melampau.


"Saya biasa di atas dan saya juga pernah jatuh. Bila saya jatuh, itu bukan semuanya habis. Saya imbas kembali masa saya seorang ibu muda dan apabila suami saya dipenjarakan. Itu salah satu titik yang tiada apa saya dapat lakukan.


"Saya telah berhenti kerjaya, suami saya masa itu Timbalan Perdana Menteri (TPM). Balik kerja (bekerja semula) anak-anak kecil. Saya fikirkan ketika itu kita sebagai hamba Allah, kita mohon pada Allah.


"Yang berikan motivasi itu apabila saya lihat anak saya 6 orang. Kalau ibunya tidak kuat bagaimana dengan anak? Waktu itu saya fikir masa depan mereka. Itu beri saya kekuatan.


"Wanita ini ada naluri keibuan. Kalau kamu murung kamu kena fikirkan, hidup ini satu perjalanan, bukannya destinasi. Kalau kita mohon pada Allah dan tidak diberi, kita sabarlah. Jangan putus asa," katanya dalam temuramah program maya bertajuk : "Dugaan Kekuatan dan Kesabaran Wanta Era Covid 19", pagi tadi.


Ditanya apakah yang perlu dilakukan ketika jangkitan Covid semakin membimbangkan, Dr Wan Azizah menjawab kerajaan perlu memainkan peranan lebih berkesan, sama ada memikirkan cara-cara menyelesaikan pandemik atau menghulurkan bantuan.


"Kalau kita lihat apa kita lalui, dengan PKP 3.0 dan PKPD, ini menyebabkan orang terkesan. B40 jadi B60.


"Kita beri makanan. Ada orang kita beri makanan tetapi mereka tak perlu makanan sangat. Bagaimana pula beri makanan mentah kepada makcik atau pakcik yang duduk keseorangan, siapa nak masak? Gas habis siapa nak beli, kalau suruh orang beli tak ada duit. Bagaimana untuk urus hal ini lebih efektif?


"Ada yang kata saya tak perlu makan, saya perlukan wang, hutang sewa rumah, air, api. Kita tak ada pendapatan


"Jadi pihak kerajaan yang pegang kuasa buatlah sesuatu. Janganlah bagi yang mengelirukan. Siapa pun tak tahu nak buat macam mana PKP, PKPD siapa pun tak tahu nak buat apa.


"Ini yang saya rasa orang jadi resah. Penguatkuasa pun tak tahu nak buat apa," katanya.


Berkenaan soalan "dari mana datangnya semangat untuk menjadi wanita pertama menjadi TPM" Dr Wan Azizah menjawab hal itu berbekalkan pengalaman politik dan tekad untuk menaikkan imej negara.


"Siapa tak nak jadi Timbalan Perdana Menteri, berebut (ketawa). Tahniah kepada siapa yang jadi.


"Namun ini amanah. Jawatan datangnya dengan tanggungjawab. Saya rasa satu pengiktirafan terhadap wanita.


"Ini pun saya terkesan apa akan saya jawab kalau jadi Timbalan PM. Saya tekad untuk bawa nama Malaysia di persada dunia. Ini penting, juga wanita yang bertudung. Islamik imej. Wanita muslim perlu dilihat berpotensi dan boleh memegang amanah," katanya lagi.



0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page