Ketua Srikandi KEADILAN Sarawak, Norhafizah Joharie menyifatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih gagal untuk menyelesaikan infrastruktur asas terutamanya bekalan air bersih dan terawat untuk penduduk luar bandar.
Katanya, kemudahan asas ini sepatutnya telah diselesaikan dan tidak akan membelenggu penduduk sekitar Bekenu jika Sarawak ditadbir dengan baik dan efektif.
"Jika kita lihat di kawasan sekitar Bekenu terutamanya perkampungan Kadayan, penduduknya masih menghadapi masalah ketiadaan bekalan air malah sumber air paip ada yang tidak pernah sampai ke kediaman dan sekolah luar bandar.
"Pelbagai aduan daripada penduduk Kampung Tiris yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak beberapa tahun lepas namun keadaan bertambah parah kebelakangan ini. Ini kerana penduduk hanya akan mendapat bekalan air berjadual yang kebiasaanya pada tengah malam sehingga awal pagi.
"Pastinya masalah ini akan menjadi kesukaran terutamanya warga emas apabila terpaksa bangun seawal pukul 2 pagi untuk menadah air takungan bagi kegunaan seharian," katanya.
Justeru, katanya, jika wakil rakyat dari parti BN sebelum ini dan sekarang dijenamakan semula dengan GPS menjalankan peranan beliau dengan baik, pastinya masalah ini dapat diselesaikan.
"Jika kerajaan GPS yang kononnya prihatin masalah rakyat Sarawak, pastinya tiada lagi isu kekurangan kemudahan asas di setiap ceruk kampung dan luar bandar.
"Laungan pembangunan yang dimomokkan selama ini hanya menjadi sebutan di bibir mereka tanpa dirasai penduduk Bekenu yang mana masalah asas pun tidak diselesaikan lagi," katanya.
Comments