top of page

'Kalau ada majoriti tunjukkan sekarang, kenapa tunggu hingga September?'


Pentadbiran Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin dikecam kerana meminta tempoh sehingga September ini untuk membuktikan majoriti beliau melalui usul Undi Percaya di Parlimen.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majoriti sepatutnya dibuktikan segera kerana pihak Umno telah menarik sokongan dan Yang di-Pertuan Agong perlu tahu jumlah sebenar yang masih setia bersama Mahiaddin untuk mengabsahkan pentadbirannya.


"Kenyataan jelas, walaupun diminta (oleh Agong) meletakkan jawatan Tan Sri Mahiaddin berdalih, merayu menyatakan kami punya jumlah yang baharu dan akan dibentangkan di Parlimen.


"Terima titah Tuanku Agong, baru nak ada Undi Percaya. Kita sudah asak sekian lama.


"Ada peguam kata jalurnya hanya melalui Parlimen. Benar. Tetapi Parlimen tidak boleh melakukannya selama ini sampai ditangguh, ditutup, dikelirukan dan ini yang berlaku sepanjang minggu lalu.


"Patut bahas soal Covid, kewangan dan darurat. Ahli Parlimen ditipu mengatakan Tuanku sudah perkenan (mansuh Ordinan Darurat). Tuanku Agong mengatakan belum, keluar kenyataan. Dibantah (oleh kerajaan) seolah-olah kuasa kerajaan Perkara 40 (1). Kalau ini bukan biadap melanggar tatasusila Melayu dan dehaka, apa lagi mahu kita katakan?


"Sekarang setelah keadaan itu (tiada majoriti), hampir tenggelam baru minta tangguh satu bulan. Saya tidak faham mengapa tidak dilakukan minggu lalu sahaja," kata Anwar.


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, Mahiaddin seharusnya tidak memperdaya lebih lama Yang di-Pertuan Agong dan rakyat mengenai majoriti yang dimilikinya.


"Persoalan pertama, bagaimana mungkin seorang PM memberi kenyataan palsu dan mengelirukan kepada Agong, katakan dia ada jumlah.


"Umno nyatakan mereka mempunyai lebih daripada 8 Ahli Parlimen (menarik sokongan). Jadi kenyataan penipuan ini berterusan. Tak kira parti Melayu, Islam semua sekongkol.


"Apakah tidak benar kita katakan, bahawa pembangkang jumlah rasminya 105, campur Umno yang katanya 12 Ahli Parlimen itu masih lagi minioriti?" tanyanya.


Tegas Anwar, bukan hanya di Parlimen sahaja majoriti boleh dibuktikan, malah dalam Perlembagaan Persekutuan majoriti boleh dibuktikan di luar Parlimen.


Katanya, kes pada 2009 tersingkirnya Menteri Besar (MB) Pakatan Rakyat di Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan membuktikan pembuktian hilang sokongan boleh diterima oleh Sultan secara perakuan oleh ADUN-ADUN.


"Ada peguam kata ini bukan kuasa Yang di-Pertuan Agong. 2009 krisis di Perak yang melihatkan MB ketika itu Nizar. Tuanku Sultan Perak tak tunggu sidang DUN. Bila sahih Nizar dikatakan hilang keabsahan, Tuanku ambil keputusan berhubung dengan semua ADUN memutuskan untuk melantik MB baharu.


"Perkara ini di bawa ke mahkamah dan mahkamah memutuskan dalam bidang ini, kuasa Raja mutlak dan tidak boleh dipertikai bila Raja atau Agong yakin seseorang (calon MB atau PM) punyai majoriti. Dalam konteks ini (krisis di Persekutuan) PM kehilangan majoriti.


"Ini tidak dipertikai lagi setelah Mahkamah Persekutuan buat keputusan. Ini berlaku di Perak. Ini juga berlaku di Kedah bila Datuk Seri Mukhriz berundur (hilang majoriti di luar dewan), lantik MB baru. Tidak dipertikai. Semuanya berlaku (lantikan jawatan) termasuk Mahiaddin sendiri, tidak berlaku melalui proses Parlimen," jelasnya.


Bagaimanapun dalam krisis kali ini, Anwar sangsi mengenai tempoh sebulan yang diminta Mahiaddin untuk membuktikan majoriti mungkin akan digunakan untuk membeli Ahli Parlimen atau melakukan ugutan yang tidak selari dengan prinsip demokrasi semata-mata memastikan blok Perikatan Nasional mendapat sokongan cukup.


Justeru Anwar menasihatkan agar penjawat awam kekal dengan sumpah jawatan mereka dan tidak mudah dipergunakan oleh ahli politik demi memenuhi niat mengekalkan kuasa.


"Saya merayu kepada penjawat awam memahami perkara ini dan menyerahkan kepada orang politik menyelesaikan masalah mengikut saluran yang sah dan akhirnya menyerahkan kepada wewenang budi bicara Agong memutuskan.


"Jangan mereka cuba gunakan kesempatan menjadi pekakas orang politik. Menekan, mengugut, memantau, memerangkap. Jangan, kerana perkara ini kita serah pada takdir dan Allah menentukan akhirnya. Kita harus berikhtiar. Kita harus dewasa," katanya lagi.


Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli dari Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang berprinsip sanggup melepaskan jawatan. Katanya, hal itu jarang berlaku di Malaysia, meletakkan jawatan atas prinsip perjuangan.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page