top of page

Kak Umi: Dari rumah usang ke harapan baru buat keluarga - Steven Sim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 18
  • 2 min read

Steven Sim (berbaju putih) bersama keluarga Kak Umi berjanji akan membaiki warung keluarga berkenaan
Steven Sim (berbaju putih) bersama keluarga Kak Umi berjanji akan membaiki warung keluarga berkenaan

Kisah Kak Umi, seorang pejuang reformasi dan wira kampung yang hidup sederhana tanpa pernah meminta pujian, mengundang rasa sebak apabila rumah usang yang didiami adiknya Rosman sekeluarga berjaya digantikan dengan kediaman baharu hasil sokongan masyarakat dan inisiatif Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.


Kak Umi, yang pernah bekerja sebagai tukang gunting rambut dan berniaga kecil-kecilan, kini semakin uzur. Namun, semangatnya membantu orang lain tidak pernah pudar, meskipun dirinya sendiri hidup dalam kekurangan.


Steven menceritakan, beberapa minggu lalu beliau sempat melawat Kak Umi secara mengejut.


"Kebetulan masa tu Kak Umi baru turun dari bukit Tok Kun mengambil upah jaga dusun milik ayah sahabat baiknya Fatin.


"Saya terdiam melihat keadaannya. Letih, lesu, tapi masih tersenyum. Saya tawarkan bantuan. Tapi seperti biasa, Kak Umi menolak dengan lembut," kata Steven Sim dalam muat naik di Facebook.


Apa yang lebih meruntun hati, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu ialah kebimbangan Kak Umi bukan untuk dirinya sendiri, tetapi terhadap adiknya, Rosman, seorang pesakit jantung yang tidak mampu bekerja berat dan tinggal di rumah pusaka yang hampir runtuh.


"Begitulah Kak Umi dari dulu tak pernah berubah, Kak Umi bimbang. Bukan untuk dirinya, tapi untuk Rosman sekeluarga. Dia minta saya, dengan suara yang perlahan tapi penuh harapan, “Kalau boleh, tolonglah bantu Rosman.”


"Saya bagitau Kak Umi saya akan cuba sedaya upaya saya," katanya.


Janji itu akhirnya tertunai. Dua hari lalu, Kak Umi sendiri menelefon Steven Sim dengan suara gembira mengkhabarkan rumah baharu Rosman sudah siap dibina dan menjemput beliau ke majlis doa selamat.


"Sebaik saja saya tiba di rumah Kak Umi, terkejut saya melihat rumah yang sebelum ini terlalu usang dan hampir runtuh kini tersergam indah di depan mata.


"Majlis doa selamat dan kesyukuran bukan saja dihadiri oleh jemaah surau malah jiran-jiran dari berbagai kaum turut datang sekali. Kita susah sama-sama kita senang sama-sama. Itulah orang Malaysia kita," ujarnya.


Menurut beliau, pembinaan rumah itu dilakukan secara gotong-royong daripada lebih 20 pelajar berbilang kaum yang mengikuti kursus kepimpinan anjuran First CDK Engineering.


Selain rumah baharu, Steven Sim juga mencadangkan agar kedai makan lama milik keluarga itu dibaik pulih supaya Rosman dapat berniaga sendiri dan menambah pendapatan untuk menyara dua orang anaknya yang masih bersekolah.


"Rosman terkejut atas tawaran saya tapi dia terus bersetuju. Saya akan bantu dia untuk berdiri semula. Dua orang anaknya masih bersekolah. Saya doakan kehidupan mereka selepas ini akan menjadi lebih baik," kata beliau.


Steven sim menegaskan, kisah Kak Umi adalah lambang ketabahan rakyat Malaysia yang hidup sederhana tetapi kaya jiwa, serta tauladan bagaimana semangat kebersamaan boleh mengubah kehidupan sebuah keluarga.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page