top of page

Kajian Suara Wanita serlah lima agenda dasar pemerkasaan wanita Malaysia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 26 minutes ago
  • 3 min read
DS Dr Wan Azizah merasmikan Karnival Wanita Mendunia di Cheras, Kuala Lumpur
DS Dr Wan Azizah merasmikan Karnival Wanita Mendunia di Cheras, Kuala Lumpur

Dasar berkaitan wanita perlu dibentuk berdasarkan suara dan pengalaman sebenar golongan itu bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan benar-benar memenuhi keperluan mereka.


Berucap pada Karnival Wanita Mendunia, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, Kajian Suara Wanita 2025/2026 yang melibatkan lebih 1,000 wanita di seluruh Malaysia, selain hampir 270 wanita menerusi sesi Wanita Mendunia dan penglibatan komuniti di pelbagai zon, menyediakan gambaran penting mengenai cabaran dihadapi golongan wanita ketika ini.


"Kajian ini penting kerana ia membawa satu mesej yang jelas iaitu dasar yang baik bermula daripada dasar yang mendengar.


"Ia bukan sekadar angka dan statistik tetapi merupakan suara sebenar wanita Malaysia tentang apa yang membebankan mereka, apa yang mereka harapkan, dan apa yang mereka perlukan daripada negara ini," katanya dalam ucapan di Majlis Perasmian Karnival Wanita Mendunia dan Pelancaran Kajian Suara Wanita (National Women's Survey 2025/2026) yang berlangsung di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur hari ini.


Beliau berkata antara dapatan utama kajian ialah jurang ketara dalam pemerkasaan politik wanita meskipun Malaysia hampir mencapai kesaksamaan gender dalam bidang pendidikan dengan skor pencapaian 0.996 dalam Global Gender Gap Report 2025.


Datuk Seri Dr Wan Azizah berucap
Datuk Seri Dr Wan Azizah berucap

Menurutnya, Malaysia berada di tangga ke-128 daripada 148 negara dalam aspek pemerkasaan politik wanita, manakala 62.7 peratus responden mengakui wanita masih kurang diwakili di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


"Ini menunjukkan bahawa persoalannya bukan tentang keupayaan wanita, tetapi tentang peluang dan akses yang masih perlu diperluaskan," ujarnya.


Beliau berkata kos sara hidup turut menjadi kebimbangan utama wanita Malaysia apabila 54.2 peratus responden mengenal pasti isu berkenaan sebagai perkara yang paling memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka, mengatasi isu peluang pekerjaan dan pendapatan.


Katanya, tanggungjawab menjaga keluarga pula dikenal pasti sebagai halangan utama kepada penyertaan politik wanita, dengan 45.8 peratus responden menyatakan perkara itu, melebihi halangan budaya politik yang keras dan bersifat maskulin.


"Justeru, memperkasakan ekonomi jagaan (care economy) bukan sahaja isu kebajikan, tetapi merupakan keperluan strategik negara," katanya.


Beliau berkata kajian itu turut mendapati hampir 81 peratus responden sama ada tidak pasti mengenai cara memohon atau mendapati maklumat sukar difahami walaupun pernah mendengar mengenai program bantuan kerajaan.


Katanya, keadaan itu menunjukkan keperluan memastikan maklumat berkaitan bantuan bukan sahaja disampaikan secara meluas, malah mudah difahami dan boleh digunakan oleh rakyat di semua peringkat.


Dalam pada itu, beliau berkata responden turut menggambarkan ciri kepimpinan yang mereka dambakan apabila diminta menamakan tokoh politik yang paling mewakili suara wanita.


"Jawapan mereka bukan sekadar nama, tetapi satu gambaran tentang jenis kepimpinan yang mereka dambakan: kepimpinan yang penuh empati, konsisten dalam memperjuangkan isu sosioekonomi, mudah didekati, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding kuasa semata-mata."


Beliau berkata dapatan kajian itu membawa kepada lima hala tuju dasar yang wajar diberi perhatian kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil.


Lima agenda berkenaan ialah membina ekonomi jagaan yang memperkasakan penyertaan wanita, melindungi kesinambungan ekonomi wanita sepanjang tempoh bekerja dan menjaga keluarga, merapatkan jurang antara perlindungan undang-undang dengan penguatkuasaan berkesan, mengubah penyertaan politik wanita daripada sekadar aspirasi kepada akauntabiliti institusi serta memastikan bantuan kerajaan benar-benar boleh diakses.


Beliau menegaskan usaha memperkasa wanita bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan pembuat dasar, pemimpin komuniti, sektor korporat, media dan masyarakat secara keseluruhan.


"Ia adalah seruan kepada kita semua pembuat dasar, pemimpin komuniti, sektor korporat, media, dan setiap individu di dewan ini untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan suara wanita yang dikumpulkan melalui kajian ini tidak sekadar tinggal di atas kertas, tetapi diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kehidupan wanita Malaysia," katanya.


Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Suluh Centre serta semua rakan strategik yang menjayakan Karnival Wanita Mendunia dan Kajian Suara Wanita, yang disifatkan sebagai inisiatif penting dalam perbincangan dasar berkaitan wanita di negara ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page