Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menolak fitnah di media sosial mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail kononnya pro Israel dan dijemput bersama isteri Perdana Menteri Israel dalam satu majlis di Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.
Menurut kenyataan AMK, fitnah tersebut ternyata berniat jahat kerana acara yang dimaksudkan dianjurkan oleh isteri Presiden Amerika Syarikat pada sesi persidangan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu, September lalu dan tiada kaitan dengan Israel.
"AMK menempelak cubaan fitnah mengaitkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan perjumpaan yang kononnya dianjurkan oleh isteri pemimpin Israel beserta fitnah-fitnah sisipan lain yang sengaja ditimbulkan.
"Kehadiran beliau dalam satu majlis resepsi bulan lalu bersama-sama isteri pemimpin-pemimpin dunia lain adalah atas jemputan Dr Jill Biden, isteri Presiden AS bersempena dengan penganjuran United Nations General Assembly (UNGA) dan itu telah jauh diputar belit," kata AMK dalam satu kenaytaan.
Menurut AMK, sokongan Dr Wan Aizah terhadap rakyat Palestin tidak perlu diragukan lagi sehinggakan pada waktu beliau bergelar Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia, beliau menerima kunjungan hormat pemimpin Hamas di pejabatnya.
"Kecenderungan beliau terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Hamas hakikatnya tidak boleh dipertikaikan apabila pemimpin Hamas sendiri datang berkunjung ke Pejabatnya sewaktu menjawat jawatan TPM, di samping kenyataannya yang tegas terhadap penubuhan negara Palestin sehingga kini," kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, kata kenyataan berkenaan, AMK akan membuat laporan terkait usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memutar belit fakta demi mewujudkan sangkaan jahat terhadap pendirian Kerajaan dan pemimpinnya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Hamas.
Comments