top of page

Kadar kes Covid di bawah 5,000 sehari meragukan, ujian saringan berkurangan - Anwar


Penurunan mendadak kes jangkitan harian Covid 19 pada 14 Jun lalu diragukan berikutan minggu sebelumnya didapati jumlah jangkitan masih tinggi.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mungkin terdapat kesenjangan dari segi data dalam mengungkapkan 9,020 kes Covid pada 29 Mei kepada 4,949 kes untuk 14 Jun 2021, sekiranya diambil kira kadar kematian akibat pandemik dalam tempoh sama.


"Data umum ini tidak menggambarkan penurunan sebenar sebanyak 45%. Penerusan penggunaan katil-katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang tinggi dan perebakan kes-kes Covid-19 yang parah menggambarkan virus sudah tersebar secara meluas dan kita sedang berhadapan dengan mutasi Covid yang ganas.


"Pada 29 Mei yang lalu, sebanyak 126,480 ujian saringan dilakukan dan kadar pengujian meningkat sebanyak 166% dalam 15 hari kebelakang.

"Sedangkan kadar kes harian telah meningkat 104% pada tempoh sama dan kadar kes positif hampir atau telah melebihi 7% pada minggu pertama bulan Jun.


"Sejak 29 Mei jumlah kes harian menurun 45% dan jumlah ujian saringan juga menurun 44%. Pengiraan matematik tahap rendah sudah memadai untuk merungkai kesenjangan-kesenjangan ini.


"Jika semalam kita jalankan ujian saringan sebanyak 100,000, berkemungkinan besar jumlah harian kes Covid-19 akan melebihi paras 7,000 kes. Jika 150,000 ujian saringan, kadar kes positif kita akan mencapai 10,000 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, data seharusnya tidak mudah dimanipulasi bagi menggambarkan virus itu sedang merebak pantas bagi mewajarkan langkah darurat. Namun, tidak cukup pantas untuk mengakui kelemahan kerajaan dalam mengawal dan membendung wabak.


Beliau turut bertanya, adakah jumlah sebenar kes harian telah melepasi 10,000 kes sekiranya ujian dilakukan secara besar-besaran.


"Satu-satunya cara untuk mempastikannya adalah melalui penggunaan data dan sains. Jika kita pergiatkan ujian dan mengesan kes-kes baharu, maka kita mampu untuk asingkan mereka, lakukan pengesanan kontak dan memberi dukungan perubatan kepada yang dijangkiti.


"Sebaliknya, jika kita pertingkatkan kadar ujian, dan tidak mengesan kes-kes baharu, maka logiklah untuk mengatakan penularan wabak ini sedang menurun. Ramai pakar perubatan telah membangkitkan persoalan ini, tetapi Kementerian Kesihatan tidak mempedulikannya, malah jawapan yang diberikan paling tidak masuk akal.


"Jika kita tidak patuhi sains saat ini, dan itulah sikap kerajaan PN maka pengorbanan rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP adalah sia-sia.

"Virus ini akan terus merempuh dan mengorbankan banyak nyawa. Warga miskin dan melarat akan terus menerima kesan besar dari wabak dan PKP, juga dalam masa yang sama orang kaya akan bertambah kaya, malah mungkin menerima manfaat daripada krisis. Ini sangat tidak adil, dan adalah kesan langsung daripada kebijakan kerajaan PN serta peranan Parlimen yang dilenyapkan," katanya.


Justeru, Anwar memberi amaran, jika pertimbangan politik dan nafsu serakah individu terus mempengaruhi strategi membendung wabak maka ia adalah jalan kehancuran kerana kesannya akan ditanggung rakyat serta ekonomi negara yang akan terus merudum.


Katanya, harus ada perubahan tuntas dalam strategi membendung wabak.


"Salah satu cara untuk keluar dari pandemik ini adalah dengan bersandarkan kaedah saintifik, perkongsian data, ketelusan dan kebertanggungjawaban.


"Kita tidak akan berjaya tanpa kekuatan rakyat. Ini hanya akan berlaku bilamana kepercayaan dan keyakinan antara rakyat dan kerajaan dapat dipulihkan," kata Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi.

0 comments

Commenti


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page