Kadar inflasi negara terus tunjuk trend menurun - Bank Negara
- Suara Keadilan
- Aug 1
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Inflasi utama negara terus menunjukkan trend penurunan apabila mencatat kadar 1.1% pada Jun 2025 berbanding 1.2% pada bulan sebelumnya, demikian menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM).
Kata bank pusat itu, inflasi teras pula kekal stabil pada kadar 1.8% bagi dua bulan berturut-turut.
"Penurunan ini sebahagian besarnya disumbang oleh inflasi yang lebih rendah dalam komponen bukan teras, khususnya harga makanan segar, diesel dan tambang pengangkutan udara," kata BNM dalam kenyataan.
Kenyataan itu berkata, peningkatan dalam beberapa item teras seperti makanan yang dibeli di luar dan perkhidmatan penstriman telah diimbangi oleh penurunan harga perkhidmatan komunikasi mudah alih dan konsol permainan video.
Dalam pada itu, BNM berkata Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (IOWRT) pula mencatatkan pertumbuhan 4.1% pada Mei lalu, sedikit perlahan berbanding 4.3% pada April.
"Segmen runcit disokong oleh jualan kukuh barangan isi rumah di kedai khusus manakala perdagangan borong pula didorong oleh permintaan terhadap barangan rumah seperti perkakas dan perabot," jelas bank pusat itu.
Segmen kenderaan bermotor mencatat pertumbuhan sederhana, didorong oleh aktiviti jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta alat ganti, katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, BNM melaporkan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 5.2%, disokong oleh pinjaman isi rumah yang kekal stabil pada 6% merangkumi pinjaman hartanah dan kenderaan.
"Pinjaman perniagaan mencatatkan pertumbuhan mantap sebanyak 4.5%, khususnya dalam pinjaman berkaitan pelaburan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," ujarnya.
Sementara itu kata BNM, pasaran kewangan domestik kekal dipengaruhi oleh ketidaktentuan global termasuk dasar tarif Amerika Syarikat (AS) menjelang tamatnya tempoh gencatan perdagangan 90 hari serta ketegangan geopolitik yang menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dunia.
"Dalam keadaan ini, ringgit mencatat pengukuhan 0.5% berbanding dolar AS, disokong oleh kelemahan berterusan mata wang Amerika serta langkah bersepadu oleh BNM dan Kerajaan untuk menggalakkan aliran masuk tukaran asing," kata bank pusat itu.
BNM menegaskan bahawa sistem perbankan terus kekal kukuh dengan tahap kecairan sihat dan kualiti aset yang stabil.
"Nisbah pinjaman terjejas kasar menurun kepada 1.4%, manakala nisbah pinjaman terjejas bersih kekal pada 0.9%, mencerminkan kualiti aset yang masih kukuh
"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman, termasuk rizab kawal selia, kekal berhemat pada 130.3% daripada pinjaman terjejas kasar," menurut kenyataan itu lagi.
Comments