Oleh: Redzuan Shamsudin

Pengenaan kadar faedah ketika kerajaan membenarkan moratorium pembayaran balik pinjaman tidak wajar dilakukan oleh pihak perbankan dalam suasana krisis ekoran wabak Covid 19. Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berpendapat, moratorium pembayaran balik tidak akan melegakan ekonomi rakyat sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan kadar faedah dikenakan bagi bulan-bulan yang ditangguhkan bayaran. "Pendirian BNM dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) boleh mengenakan kadar faedah bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang dikenakan moratorium memberikan gambaran sektor perbankan tidak mengendahkan nasib rakyat "Pada ketika negara berhadapan penularan wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi mencabar, sektor perbankan sepatutnya turut sama berkorban demi kepentingan negara. Penyelesaian bersifat ‘separuh jalan’ seperti pengenaan kadar faedah ketika moratorium pembayaran balik pinjaman dilaksana hanya mengukuhkan persepsi sektor perbankan tidak peduli nasib rakyat yang tertekan. "Majlis Setiausaha kesal atas ketiadaan penyelarasan di antara ucapan Perdana Menteri pada 27 Mac dengan kenyataan BNM semalam yang amat mengelirukan dan menimbulkan kegelisahan rakyat. "Kami menggesa Menteri Kewangan segera mengarahkan BNM dan ABM mempertimbang semula pendirian pengenaan kadar faedah serta menuntut agar bank-bank tidak mengenakan sebarang kadar faedah selama moratorium berkuatkuasa," kata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution, Khalid Samad dari Amanah dan Liew Chin Tong dari DAP. Menurut mereka lagi, walaupun dasar tidak mengenakan kadar faedah akan menjejas keuntungan bank dalam jangka masa pendek tetapi hal itu tidak akan menyebabkan sektor perbankan kerugian dalam jangka masa panjang.