top of page

Kabinet setuju kekalkan larang sekolah terima dana syarikat arak



Kabinet bersetuju agar Kementerian Pendidikan mengekalkan pekeliling yang telah dikeluarkan pada 2018 yang antara lain melarang pihak sekolah menerima sumbangan dan tajaan daripada syarikat minuman keras.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kenyataan berkata, Jemaah Menteri bagaimanapun memberikan pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah dan badan lain seperti diamalkan sebelum ini.


"Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada Rabu telah bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.


"Pada masa sama, Mesyuarat Jemaah Menteri juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti mana yang telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan dimuat naik Facebook hari ini.


Kenyataan sama turut dimuatnaik di laman web Kementerian Pendidikan.


Bagaimanapun, Fadhlina berkata, Jemaah Menteri menegaskan bahawa penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam.


Terdahulu, KPM dalam kenyataan sebelum ini berkata kementerian mengambil perhatian serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.


"Isu ini berada dalam perhatian KPM dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Pentadbir di institusi pendidikan KPM diingatkan untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan dengan penganjuran program dan penerimaan sumbangan," katanya.


Sambil mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan, kementerian itu mengingatkan tentang Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 mengenai larangan sumbangan daripada syarikat minuman keras.


"Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.


"KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda. Pelbagai program kesedaran dan Pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid," jelas kenyataan itu.


Kenyataan itu susulan isu penajaan syarikat minuman keras apabila tular gambar majlis penyerahan sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tche Min, Sungai Pelek, Sepang, Selangor menunjukkan replika cek derma berjumlah RM3 juta tertera logo syarikat bir jenama Tiger pada 14 Julai lalu.


Ia menjadi sasaran serangan pembangkang terhadap Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut bergambar bersama replika cek sumbangan itu dengan latar belakang logo Tiger.


Aiman Athirah menegaskan beliau hadir ke majlis tersebut untuk memberikan sokongan kepada pihak sekolah dan bukannya menyokong syarikat arak.


Beliau memenuhi undangan daripada Lembaga Pengurusan Sekolah dan PIBG SJKC Tche Min ke Konsert Amal Pendidikan bagi membuat kutipan membina Dewan Sekolah SJKC Tche Min yang telah ditubuhkan 30 tahun yang lalu.


Jelas beliau, pihaknya sendiri telah memberikan sumbangan RM100,000 bagi majlis amal tersebut.


"Para ibu bapa, para alumni sekolah dan penduduk Sungai Pelek adalah antara yang telah menyumbang sebanyak RM 3 juta dengan pembelian meja sebanyak 160 buah bagi menambah kutipan dana pada malam tersebut.


"Semua penyumbang telah diraikan oleh Lembaga Pengurusan Sekolah dengan upacara penyerahan hadiah penghargaan dan bergambar di atas pentas sebagai kenangan bersama," katanya.


Sehingga 14 Julai lalu, Parlimen Sepang di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri dan Projek Mesra Rakyat telah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta kepada pendidikan anak-anak Sepang hampir 50 peratus daripada jumlah peruntukan beliau bagi tahun ini.


Antara penerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Sepang pada tahun ini adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Lang sebanyak RM150,000, Sekolah KAFA Desa Pinggiran Putra (RM200,000) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana (RM130,000).

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page