top of page

Juruterbang seludup dadah, DAP, Anthony Loke juga salah?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Keanehan apakah yang melanda pemikiran pemimpin parti komponen 'penyatuan ummah' apabila mempersoalkan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam episod penyeludupan dadah oleh seorang juruterbang Malaysia di Indonesia.


Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan (gambar) menyifatkan tuntutan Timbalan Pengerusi Kebangsaan Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan supaya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi penjelasan berhubung kes juruterbang yang didakwa menyeludup dadah itu sebagai tidak kena pada tempatnya.


Beliau berkata, persoalan utama dalam kes berkenaan adalah bagaimana suspek boleh melepasi kawalan keselamatan dan membawa masuk dadah, yang disifatkannya sebagai satu pelanggaran keselamatan serius.


"Saya baca laporan (berita) ini pun kepala saya jadi sakit.


"Ada ke patut juruterbang seludup dadah, tetapi Anthony Loke dituntutnya beri penjelasan?" katanya dalam hantaran di media sosial.


Shahredzan berkata, perkara berkenaan masih dalam siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengenal pasti bagaimana suspek boleh melepasi kawalan keselamatan dengan membawa dadah.


"Sudah tentu ia masih dalam siasatan. Biarlah polis siasat dan kenal pasti bagaimana suspek boleh lepas dengan membawa dadah sebegitu rupa.


"Kita pun mahu tahu kerana perkara ini melibatkan pelanggaran ‘security breach’ yang serius," kata Ahli Parlimen Bangi itu.


Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kawalan sempadan bukan di bawah tanggungjawab Anthony Loke sebaliknya Kementerian Dalam Negeri.


"Tapi orang MCA ini ambil kesempatan untuk ‘tembak’ Anthony Loke.


"Orang seludup dadah pun Anthony Loke kena jawab ke?" tanyanya.


Shahredzan turut mendakwa MCA sengaja menggunakan isu berkenaan untuk menyerang Loke, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar.


"Ya, kita tahu kenapa dalam banyak-banyak hal, MCA boleh tuntut penjelasan, dia cari Anthony Loke juga.


"MCA jangan ambil kesempatan dengan perkara serius ini.


"Orang MCA ini ‘tembak’ tidak kena tempat, terserlah betapa dangkalnya beliau," katanya.


Semalam Sinar Harian melaporkan, Timbalan Pengerusi Kebangsaan Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan mengulas penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia yang didakwa cuba menyeludup 26 kilogram dadah ke negara itu.


Katanya, walaupun kesalahan yang didakwa itu membabitkan tindakan individu, kementerian berkenaan perlu menangani persoalan lebih besar berkaitan keberkesanan mekanisme pemantauan dan pengawasan terhadap kru penerbangan.


Katanya, ia turut menimbulkan persoalan sama ada prosedur saringan, pemeriksaan tahap kesihatan serta pematuhan peraturan sedia ada cukup kukuh bagi mengesan serta mencegah individu yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan ratusan penumpang daripada terlibat dalam kegiatan jenayah serius.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page