Gerakan Otai Reformis 1998 membuat laporan polis pagi tadi terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membenarkan syarikat pembekal vaksin negara menjual produk tersebut kepada pihak swasta dan kerajaan negeri ketika rakyat marhaen masih menunggu giliran menerima suntikan dos pertama sejak berbulan-bulan lalu.
Jurucakap Otai, Fadzli Hassan berkata, merujuk laporan media sebanyak 14 juta vaksin Sinovac akan dibuka untuk tempahan oleh pihak swasta mulai Julai, dan hal itu didakwa sebagai penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan.
"Terdapat kira-kira 10 juta rakyat Malaysia dari 20 juta orang dewasa yang masih belum menerima suntikan vaksin dos pertama
"Sebaliknya kerajaan membenarkan pula urusniaga komersial dan ini secara jelas menafikan hak rakyat terbanyak mendapat vaksin dengan kadar segera, pada ketika jangkitan meningkat dari hari ke hari
"Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab berikan vaksin secara percuma kepada 20 juta rakyat dewasa Malaysia tetapi dengan membenarkan penjualan vaksin ini, ianya membolehkan rakyat yang ada wang sahaja didahulukan .
"Yang miskin dan tidak berkemampuan akan menunggu giliran dan berpanjangan (menanti) dalam mendapatkan vaksin tersebut," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Menurut Fadzli, Otai juga mendakwa Kerajaan Persekutuan telah menyalahguna peruntukan membeli vaksin yang diluluskan sebanyak RM5 bilion dalam sidang Parlimen tahun lalu tetapi sekarang beralih pula kepada urusniaga komersial.
"Syarikat milik Kerajaan Negeri yang membeli vaksin tersebut dari pembekal akan mengenakan bayaran yang tinggi kepada pelanggan mereka atau sektor industri yang terbeban dengan sekatan (operasi) berterusan.
"Otai berpendapat adalah menjadi tanggungjawab sosial bagi Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memberikan vaksin secara percuma kepada pihak industri bagi membolehkan sektor berkenaan bangkit semula. Lebih-lebih lagi sebelum ini sektor tersebut telah membayar cukai lumayan kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Otai Reformis 1998, Razak Ismail pula menegaskan kerajaan PN seharusnya mengutamakan rakyat yang menunggu untuk memperolehi vaksin sebelum membuka tawaran untuk urusniaga swasta.
"Orang yang berdaftar dengan MySejahtera 19 juta, tetapi setakat hari ini hanya 10 juta yang telah mendapat vaksin dos pertama. Di Selangor kita ada 4.7 juta yang berdaftar tetapi malangnya menurut rekod, hanya 2 juta saja divaksin.
"Isunya kenapa kerajaan beri vaksin kepada hospital swasta, mengapa tidak suntik kepada orang yang mendaftar sebanyak 10 juta itu?
"Mengapa tidak digunakan pendekatan itu, tetapi gunakan pendekatan komersial? Jual kepada hospital swasta. Jual pada harga yang tinggi dan hospital akan caj semula kepada pelanggan yang berkemampuan.
"Untuk 14 juta orang miskin tadi macam mana? Kita dapat banyak aduan dari rakyat, ramai yang tunggu untuk temujanji tetapi mereka tidak dapat vaksin. Kenapa perlu 14 juta dos diberi kepada swasta?" tanyanya
Razak turut mempersoalkan sama ada pembelian vaksin untuk dijual kepada pihak swasta berkenaan termasuk di dalam peruntukan pembelian vaksin kerajaan yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 lalu.
Katanya, kerajaan PN perlu menjawab hal tersebut kerana tidak sepatutnya peruntukan kerajaan digunakan untuk urusniaga komersial.
"Kita dimaklumkan RM5 bilion telah diluluskan untuk beli vaksin. Kalau tak silap untuk 50 juta dos. Adakah 14 juta dos (kepada pihak swasta) ini dari jumlah peruntukan 50 juta itu?
"Adakah maknanya kerajaan menjual vaksin yang diluluskan dalam Belanjawan 2021?
"Sepatutnya pekerja kilang dapat vaksin percuma berdasarkan peruntukan 50 juta dos. Kenapa kerajaan menjual Sinovac ini," katanya lagi.
Comments