Oleh: Abdullah Zaid
KEADILAN Kemaman menyambut baik keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mempertimbangkan cadangan penggunaan mesin layan diri bagi penjualan produk arak.
Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob berkata, keputusan JAKIM itu adalah susulan daripada pertanyaan dan cadangan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiyat dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin.
"Keterbukaan pihak JAKIM dalam meneroka dan juga mengaplikasikan idea-idea baru dan juga bentuk pengoperasian terkini dalam memperkasakan syariah di Malaysia harus dipuji dan dicontohi oleh majlis agama Islam negeri-negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Hal itu katanya dalam era revolusi teknologi 4.0, JAKIM dan juga jabatan-jabatan lain yang berkaitan dengan pengurusan hal ehwal Islam harus berani berdepan dengan pelbagai bentuk perubahan terkini.
"Ia memastikan perlaksanaan syariah dan juga pentadbiran agama islam terus utuh dan terpelihara selaras dengan perlembagaan dan aspirasi Malaysia Madani," ujarnya.
Justeru, Nadhir berharap idea penggunaan mesin layan diri bagi produk arak ini dapat direalisasikan selepas kajian menyeluruh dilakukan oleh pihak JAKIM.
Mesin layan dari bagi penjualan arak diutarakan bagi mengelakkan pekerja kedai serbaneka beragama Islam terlibat dalam menjual arak kepada bukan Islam.
Comments