top of page

JPPM gantung semua kegiatan Perikatan Nasional mulai hari ini

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 terhadap parti Perikatan Nasional (PN), susulan aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).


JPPM atau ROS dalam kenyataan memaklumkan notis bertarikh 22 September 2026 itu memberi tempoh munasabah kepada PN untuk memberikan jawapan berhubung aduan berkenaan.


"JPPM menegaskan bahawa notis tersebut bertujuan untuk meminta Perikatan Nasional memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada JPPM dan notis tersebut bukan keputusan pembatalan pendaftaran," kata kenyataan itu.


Bagaimanapun, susulan notis tersebut, JPPM turut mengeluarkan perintah penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta 832 yang berkuat kuasa mulai 23 September 2026.


Perintah berkenaan menggantung semua kegiatan PN bagi menjaga kepentingan pertubuhan berkenaan daripada terus melakukan pelanggaran terhadap aturan pertubuhannya sementara proses berkaitan berjalan.


"Perintah penggantungan ini bertujuan untuk menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya," kata JPPM.


JPPM turut mengingatkan semua pihak supaya mendapatkan maklumat berdasarkan saluran rasmi jabatan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung status dan tindakan yang dikenakan terhadap PN.


"JPPM menyeru semua pihak agar merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan serta mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam," katanya.


JPPM mempunyai kuasa mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) dan melaksanakan langkah penggantungan dalam proses penguatkuasaan Akta Pertubuhan 1966.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page