Jom Shopping: Kekayaan negeri dikongsi hasil pentadbiran bersih, telus
- Suara Keadilan

- Oct 12
- 1 min read

Sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna bagi 400 penduduk komuniti India di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali yang menerima bantuan baucar Jom Shopping Deepavali daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari untuk terus membantu golongan berpendapatan rendah (B40) membuat persiapan perayaan dengan lebih selesa dan ceria.
"Negeri ini apabila diurus dengan betul, tidak jual projek dan tidak rebut tender, pasti kekayaan boleh kita kongsikan dengan rakyat.
"Tahniah kepada saudara Gunalan Munusamy dan Murali Samee selaku Ketua Komuniti India atas kejayaan program ini," katanya.
Saifuddin sebelumnya hadir ke majlis penyerahan baucar itu yang berlangsung di Econsave Batang Kali pada Sabtu.
Program Jom Shopping merupakan antara inisiatif paling dinanti rakyat Selangor setiap kali musim perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan Krismas.
Untuk sambutan Deepavali tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan 22,000 baucar dengan nilai keseluruhan bantuan melebihi RM4 juta bagi seluruh Selangor.
Sementara itu Saifuddin yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh dasar yang memberi manfaat kepada semua kaum.
"Kita mahu buat yang terbaik untuk Melayu, India dan Cina di negeri ini. Inilah semangat Malaysia MADANI dan Kita Selangor," ujarnya.









Comments