top of page

Johari Abdul Speaker berpengalaman sepak terajang politik Dewan Rakyat

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Nov 13, 2023
  • 2 min read


Kritikan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen pembangkang kononnya Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berat sebelah dan tidak mempunyai pengalaman perundangan sangatlah tidak wajar.


Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, Speaker dewan tidak semestinya dilantik daripada kalangan ahli undang undang atau bekas hakim, namun ahli politik yang mempunyai pengalaman juga amat perlu dalam mengendalikan mesyuarat yang dihadiri oleh ahli ahli politik.


"Pertama kita kena tengok syarat kelayakan untuk menjadi seorang Speaker. Tidak ada dinyatakan kelulusan undang undang.


"Sama ada bekas hakim atau apa pun, tidak ada keperluan itu. Seolah olah untuk mengatakan tiada kelayakan (undang undang) maka dia gagal atau pun tidak boleh mengawal dewan, itu tidak betul


"Walaupun memang kita lihat banyak perkara dalam dewan ini memerlukan pengetahuan undang undang, soalnya apakah peratus pengetahuan itu berbanding pengetahuan politik? Sedangkan saya rasa kalau ada kelebihan pengetahuan politik dalam konteks (mengendalikan) dewan, itu adalah satu kelebihan yang utama bagi saya," katanya kepada Suara Keadilan.

Syed Ibrahim Syed Noh

Menurut Syed Ibrahim lagi, tohmahan pembangkang bahawa Johari tidak mempunyai pengalaman perundangan dan menjejaskan perjalanan mesyuarat adalah tidak tepat kerana Speaker katanya mempunyai banyak pembantu dan pihak yang boleh dirujuk sekiranya terdapat sebarang keperluan berbuat demikian.


"Dia ada penasihat. Atau dipanggil bahagian dalam parlimen yang boleh menasihati Speaker.


"Contohnya Setiausaha Dewan Rakyat, Penasihat Undang undang, bahagian protokol antarabangsa, ada pengawai penyelidik. Itu semua ada di keliling Speaker. Maknanya semua itu boleh membantu Speaker mengurus urusan di Dewan Rakyat.


"Jadi tidak timbul bahawa dia tak ada pengetahuan undang undang dia tidak boleh kawal, dia tidak ada rujukan," katanya.


Justeru beliau menolak kritikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru baru ini kononnya Speaker tidak profesional, menyelamatkan Menteri dengan mengurangkan peluang Ahli Parlimen menyoal atau sebagainya.


"Saya rasa ini semua ini mainan politik pembangkang. Kita pun faham kalau Takiyuddin, pandangan dia bawa berbelit belit. Bagi saya, kita boleh ketepikan (pandangan) dia," katanya lagi.


Untuk rekod, Johari satu-satunya Speaker yang banyak terlibat dalam usaha reformasi parlimen sejak bergelar Ahli parlimen pada 2008.


Johari juga pernah menjadi Ketua Whip Pembangkang, Ketua Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (BBC), dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Keselamatan.


Hal itu berbeza dengan Speaker terdahulu yang mempunyai kelulusan undang-undang tetapi kurang pengalaman dalam politik dan mengelakkan kekecohan timbul di dewan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page