Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 yang akan bermula pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 ini menjadi fokus utama para pemerhati politik.
Selain Bajet atau Belanjawan 2023 akan dibentangkan, sidang Dewan Rakyat kali ini juga akan menjadi saksi sama ada Kerajaan BN - PN akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam proses kelulusan belanjawan itu atau pun mengikut desakan pemimpin Umno untuk segera membubarkan Parlimen biar pun pada musim banjir.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, perkara yang pasti pada waktu ini adalah belanjawan akan dibentangkan pada 7 Oktober dan selepas itu perbahasan mengenainya akan dilakukan.
"Sebuah Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab akan membentangkan Rang Undang-undang Belanjawaan tahun 2023 pada 7 Oktober diikuti perbahasan di Dewan Rakyat di peringkat dasar dan Jawatankuasa bagi setiap Kementerian.
"Selepas perbahasan perlu dijalankan pengundian bagi setiap Kementerian dan Belanjawan keseluruhan negara juga adalah wajib dijalankan undian supaya RUU Perbekalan atau Belanjawan 2023 itu boleh dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara sebelum menjadi undang-undang.
"Proses ini akan mengambil masa sehingga ke bulan Disember 2022," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, kata beliau, tempoh yang sesuai untuk mengadakan PRU 15 adalah pada awal tahun 2023.
Namun, katanya, sekiranya kerajaan BN - PN memilih untuk menjadi tidak bertanggungjawab mereka boleh sahaja membubarkan parlimen sebaik sahaja selesai membentangkan belanjawan pada 7 Oktober berkenaan.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ada halangan dari segi Perlembagaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon membubarkan parlimen.
"Kerajaan yang tidak bertanggungjawab itu akan membentangkan Belanjawaan 2023 untuk pilihan raya dengan segala gula-gula dan janji manis demi memancing rakyat supaya mengundi mereka.
"Kerajaan yang tidak bertanggungjawab itu tidak akan peduli dengan kemungkinan besar banjir monson yang akan berlaku pada bulan November dan Disember.
"Kerajaan yang tidak bermoral itu akan bentangkan belanjawan bersifat sandiwara dengan tujuan untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya umum (PRU) pada musim banjir.
"Apabila parlimen dibubarkan sedangkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan belum diluluskan maka semua prosiding sidang Parlimen itu hanya jadi wayang sahaja untuk menipu Rakyat," katanya.
Sekiranya senario tersebut berlaku, kata Hassan, selepas PRU 15 Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Belanjawan) perlulah dibentangkan semula oleh Kerajaan Persekutuan yang baru.
Katanya, dari segi Undang-undang Perlembagaan, Kerajaan Persekutuan bagi Parlimen Keempat Belas adalah berbeza dengan Kerajaan Persekutuan bagi Parlimen Kelima Belas.
RUU Belanjawan 2023 yang dibentangkan dalam sidang Parlimen Keempat Belas ketika ini tidak boleh disambung secara automatik oleh kerajaan baru dalam Parlimen Kelima Belas walau parti politik yang sama menjadi Kerajaan.
Apatah lagi, kata Hassan, jika parti politik yang lain pula yang berkuasa selepas PRU 15.
"Jadi sebagai seorang Ahli Parlimen maka saya menasihatkan Perdana Menteri Ismail Sabri dan Kerajaan hibrid sekarang BN-PN supaya membentangkan Belanjawaan yang betul, bukan sandiwara untuk tahun 2023 dan boleh dipertanggungjawabkan.
"Kita tidak mahu pembentangan Belanjawaan olok-olok atau wayang atau sandiwara pada 7 Oktober nanti kerana Perdana Menteri dan kabinetnya sebenarnya telah membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja selepas Belanjawan dibentang.
"Jika itu berlaku, Belanjawan yang dibentangkan pada 7 Oktober itu nanti akan menjadi sia-sia sahaja," katanya lagi.
Comments