Sikap bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad yang terus menyerang Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pakatan Harapan (PH) berusaha memperteguh imej penyatuannya dalam kalangan rakyat amat membahaya kepada masa hadapan gabungan itu.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Selangor, Adzman Kamaruddin, sikap seperti itu bukan hanya bakal mengurangkan sokongan kaum Melayu, malah penyokong setia PH dalam kalangan bukan Melayu pun mungkin beralih arah.
"Dr Mahathir seharusnya sedar beliau sudah tidak relevan dalam politik Malaysia. Mungkin benar beliau antara faktor kejayaan PH di dalam usaha menarik undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, namun kini beliau bukan lagi faktor tersebut.
"Kami bimbang, sekiranya Dr Mahathir terlibat kembali bersama PH, bukan sahaja sokongan orang Melayu bahkan sokongan orang bukan Melayu pun akan merosot terhadap PH," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Adzman lagi, sangat tidak wajar tokoh besar yang diharapkan oleh segelintir pimpinan PH untuk menarik sokongan pengundi dalam PRU ke 15 mencela Pengerusi PH, dan kesannya sangat besar sekiranya Tun Mahathir dibawa masuk sebagai sebahagian pimpinan Gabungan Besar Pembangkang
Apatah lagi, kata Adzman, rakyat sudah menilai pentadbiran Tun selama 22 bulan yang lalu telah gagal menepati janji manifesto pilihan raya.
"Justeru, AMK Selangor ingin mengulangi desakan supaya sebarang bentuk kerjasama politik seumpama cadangan ‘Grand Coalition’ tidak melibatkan Dr Mahathir.
"Beliau terus-terusan menyalahkan Anwar kononnya gagal mengembalikan semula mandat rakyat dan mengambil-alih kerajaan sedangkan hakikatnya beliau sendiri adalah faktor utama serta punca PH kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan," katanya lagi.
Comments