Kerajaan Negeri Sembilan bersiap siaga berdepan sebarang peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) disebabkan oleh jerebu.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan program bersama Jabatan Penjara Malaysia di Seremban semalam berkata, ketika ini pihaknya sedang memantau keadaan cuaca sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan.
"Kita lihat dalam tiga empat hari ini, keadaan adalah berjerebu tetapi masih terkawal.
"Kita berharap jerebu ini tidak berpanjangan terutamanya kawasan Nilai dan Port Dickson yang mencatat Indeks Pencemar Udara (IPU) agak tinggi," katanya dipetik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai menggunakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca jerebu.
"Orang ramai dinasihatkan jaga kesihatan terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan pernafasan, banyakkan minum air, kurangkan berada di kawasan terbuka termasuklah mengelakkan daripada menjalankan aktiviti luar dalam tempoh yang panjang," katanya.
Bacaan udara tidak sihat dicatatkan di Negeri Sembilan, melibatkan tiga stesen iaitu Nilai (163); Seremban (158); dan Port Dickson (156).
Bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat; 301-400 berbahaya; 401-500 sangat bahaya, dan bacaan lebih 501 menandakan kecemasan.
תגובות