Jentera PH ganda usaha misi tambah kerusi DUN - Coach Shariman
- Sidiqin Omar

- 2 days ago
- 1 min read

Pengarah Komunikasi KEADILAN Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris atau lebih dikenali sebagai Coach Shariman (gambar) menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) supaya menggandakan usaha bagi memastikan gabungan itu berjaya menawan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurut beliau, kemenangan di empat kerusi berkenaan akan membolehkan lebih banyak dasar dan program kebajikan kerajaan negeri disalurkan kepada rakyat, sebagaimana kawasan yang kini diwakili wakil rakyat Pakatan Harapan.
"Kita mahu mengubah senario semasa dengan mencatat kejayaan di DUN Chembong, DUN Paroi, DUN Rantau dan DUN Kota.
"Kita mahu menguasai kerusi-kerusi ini supaya rakyat di kawasan tersebut turut menerima manfaat seperti yang dinikmati penduduk di kawasan yang diwakili Pakatan Harapan," katanya kepada Suara Keadilan ketika ditemui pada proses penamaan calon bagi DUN Chembong, Paroi, Rantau dan Kota di Dewan Sri Rembau, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada seluruh petugas dan jentera PH supaya memanfaatkan tempoh berkempen sebaik mungkin kerana peluang seperti itu tidak datang setiap hari.
Beliau mengakui kempen pilihanraya menuntut pengorbanan besar daripada semua pihak, namun menegaskan inilah masa terbaik untuk mencipta sejarah dengan mengekalkan pentadbiran Pakatan Harapan di Negeri Sembilan serta meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi.
"Penat memang penat, letih memang letih. Tetapi inilah waktu untuk kita mencatat kegemilangan dan sejarah.
"Pastikan kemenangan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan dapat dikekalkan, malah kita sasarkan untuk meningkatkan penguasaan daripada 19 kepada 23 kerusi," katanya lagi.




Comments