top of page

Jentera PH bersiap sedia hadapi PRU, sebarang kemungkinan - MB Aminuddin

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • May 7
  • 2 min read
DS Aminuddin meminta jentera PH bersiap sedia dalam ‘Memperkukuh Perpaduan, Membina Keyakinan Rakyat’
DS Aminuddin meminta jentera PH bersiap sedia dalam ‘Memperkukuh Perpaduan, Membina Keyakinan Rakyat’

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru seluruh jentera parti komponen gabungan itu agar memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) susulan perkembangan politik semasa di negeri berkenaan.


Beliau berkata, semua anggota parti itu KEADILAN, AMANAH dan DAP perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan pada PRU akan datang.


Katanya, apa yang penting ketika ini ialah memperkukuh jentera dan saf perjuangan parti, dengan parti parti dalam PH perlu bersiap sedia dalam apa jua keadaan, sama ada di Negeri Sembilan mahu pun di peringkat nasional.


"Kita kena bekerja sebagai satu pasukan memastikan kemenangan pada PRU akan datang.


"Saya (juga) mahu rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi PRU. Mereka (UMNO) tak puas hati lagi, hari ini kenyataan demi kenyataan mereka keluarkan seolah-olah kita terpaksa menerima.


"Tetapi kita juga manusia, saya juga manusia, saya juga rasa tercalar, hiba, rakan-rakan seperjuangan juga rasa terperanjat.


"Peristiwa yang berlaku pada awal pagi (itu merupakan) satu perkara yang tidak dimaklumkan kepada rakan-rakan yang lain. Ini merupakan satu perkara yang di luar perancangan dan pengetahuan kita," katanya.


Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH yang diadakan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.


Ceramah yang bertemakan ‘Memperkukuh Perpaduan, Membina Keyakinan Rakyat’ itu menampilkan pimpinan tertinggi PH termasuk Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Hadir sama, Ketua Wanita PH, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abdul Rahman.


Dalam ceramah sama, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyentuh mengenai keadaan semasa ekonomi dunia akibat konflik Asia Barat yang menuntut Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif bagi membantu masyarakat.


Beliau berkata, ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini tidak membolehkan kerajaan bergerak seperti biasa, justeru Kerajaan Negeri telah mengumumkan usaha meneliti pengurangan kadar sewa gerai di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu mengawal harga makanan dan beberapa hal lain bagi membantu meringankan beban.


Menurut ADUN Sikamat itu lagi, lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan selepas ini bagi membantu rakyat yang sedang berdepan tekanan ekonomi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page