
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada pagi Jumaat lalu perlu berjauhan dari kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perbuatan seumpama itu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dalam kenyataan memaklumkan cara pengebumian suspek tragedi itu telah dibincangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad pada Jumaat lalu.
"Ia juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek, lebih lebih lagi membunuh pegawai yang menjaga keselamatan negara yang tiada melakukan salah dan silap terhadap suspek.
"Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dan bersimpati terhadap suspek di atas apa yang telah dilakukannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada awal pagi Jumaat lalu itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota polis cedera.
Dua anggota polis yang terkorban ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.
Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan, yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Bagi pengurusan jenazah suspek pula, Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan agar jenazah hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja, katanya.
"Jenazah suspek tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan berkaitan.
"Selepas selesai jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan, jenazah hendaklah dikebumikan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan dan kedudukan kuburnya hendaklah berjauhan sedikit dari liang lahad penghuni kubur yang lain," katanya.
Dalam pada itu, jenazah penyerang itu dilaporkan dikebumikan pada jam 12.15 tengah hari hari ini di Pusara Islam Sungai Tiram, Ulu Tiram.
Upacara pengebumian tersebut dikawal ketat anggota polis dan semua pihak termasuk media tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan dengan pintu utamanya ditutup dan dikawal anggota polis.
Proses pengebumian itu hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis.
Difahamkan, proses pengebumian lewat dilakukan kerana tiada ahli keluarga yang menuntut jenazah selepas urusan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI).
Waris lelaki tersebut hanya membuat tuntutan pada pagi Selasa sebelum urusan pengebumian dilakukan.
Commentaires