Jemput Trump: KEADILAN Putrajaya sambut baik dasar diplomasi terbuka PM
- Suara Keadilan

- Oct 7
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN Cabang Putrajaya menyatakan penghargaan terhadap dasar diplomasi terbuka dan berprinsip dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Ketua Penerangannya Mohd Hafiz Othman (gambar), berkata kehadiran Trump bukan sekadar simbol hubungan diplomatik, tetapi juga pengiktirafan kuasa besar dunia terhadap peranan penting ASEAN dalam isu serantau dan global.
"Malaysia kini semakin dihormati di pentas antarabangsa melalui dasar luar yang progresif.
"Kehadiran Trump memberi ruang untuk mengangkat suara rakyat serantau — termasuk Malaysia — dalam isu kemanusiaan dan konflik antarabangsa yang berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan.
Trump dijangka hadir ke Kuala Lumpur sebagai rakan dialog bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 27 dan 28 Oktober ini, atas kapasiti hubungan dua hala AS-ASEAN.
Perdana Menteri minggu lalu menyatakan harapan untuk mengadakan perbincangan lebih terbuka bersama Trump dalam usaha menjamin hak rakyat Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta bermaruah.
Sementara itu, Mohd Hafiz dalam kenyataannya turut menzahirkan harapan agar sidang kemuncak kali ini bukan sahaja memperkukuh hubungan ASEAN-AS, tetapi turut membuka lembaran baharu terhadap dunia yang lebih adil, aman dan berperikemanusiaan.
"Kami menyeru agar kehadiran Presiden AS kali ini menjadi titik tolak ke arah rundingan damai yang berkekalan bagi rakyat Palestin.
"Malaysia kekal konsisten menolak penindasan dan penjajahan serta menyokong penyelesaian dua negara yang menjamin hak dan maruah rakyat Palestin," ujarnya.









Comments